Pesanan buat Mutarabbiku: Daie yang ikhlas di jalan Allah


Pesanan buat Mutarabbiku : Daie yang ikhlas di jalan Allah
(Walau Dimana sahaja kamu berada…).

1. Ketika habuan dunia mengetuk pintu hatimu…

Maka ingatlah, tiada kemuliaan selain daripada dengan ketaqwaan. Kemuliaan dan gelaran di hadapan manusia adalah palsu dan tidak memberi manfaat kepadamu. Jika engkau mengambilnya sekalipun, pastikan ia dapat membantu dakwahmu.

Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa antara kamu.” . (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Hambatlah pemikiran itu pergi dan selalulah menginfak hartamu untuk jalan yang mulia ini. Namun, pada masa yang sama, janganlah mengabaikan hak-hak untuk kehidupanmu.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.” (Al Qasas, ayat 77)

Pada masa yang sama, carilah kemuliaan di sisi Allah, dengan bersungguh-sungguh demi dakwah ini.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?”

2. Ketika engkau merasa kecil hati dengan saudara seperjuanganmu…

Ingatlah asas kepada ukhuwah ini, ialah keimanan kita kepada Allah SWT dan bukannya kerana perkara-perkara duniawi. Maka, sepatutnya tiada perasaan kecil hati dan merajuk sesama kita. Semua perasaan itu hanyalah mainan hati.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih), dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”…(surah al-hujurat; ayat 10)

3. Ketika engkau menghadapi cabaran dan engkau dihina kerana dakwah ini

Ingatlah, doa ketika Nabi dihalau dari Thaif..

“Tuhanku, kepada Dikau ku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan. helahku, kehinaanku di hadapan manusia, wahai Maha Penyayang Lagi Kasihan belas. Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenci daku ? atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku? Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, namun afiat dariMu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. Dikaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, atau terturun kemarahanMu, bagi kau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhan”.”

Janganlah engkau mengadu kepada manusia, kerana manusia tidak mampu membantumu tanpa izinNya. Sebaliknya, mengadulah dan merintihlah dimalam hari kepada yang berkuasa atas segalanya.

Allah akan menguji dirimu dan kehidupanmu samada dari sudut kerjayamu, kewangan, keluargamu, gelaran duniawi dan lain-lain lagi. Maka, tunaikan dan seimbangkan segala tanggungjawab itu sebaik yang mungkin tanpa mengabaikan tanggungjawab dakwahmu. . Kerana pengalamanku menunjukkan, Daie yang dapat terus thabat dan hebat, ialah daie yang mampu menyeimbangkan semua tangungjawabnya dengan baik.

4. Ketika engkau dah merasa lama dalam dakwah ini, sedangkan hasilnya belum nampak di depan mata…dan hatimu berdetik, berapa lama lagi aku perlu berjuang?

Maka letakkan, THABAT dan SYAHID di jalan dakwah ini sebagai tujuan hidupmu. Jika engkau meletakkan pelbagai KPI organisasi sebagai tujuan engkau bersama dakwah, maka satu ketika nanti engkau akan merasa letih. Sebaliknya, letakkan thabat dan syahid dijalan dakwah ini sebagai KPImu, pasti engkau akan bersungguh-sungguh mencapainya dan tiada perkataan putus asa dalam hidupmu.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki;(dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman”
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Al-Imam syahid Hasan Al-Banna berkata “ Maksudku dengan thabat (keteguhan) adalah: Seorang akh itu sentiasa beramal dan berjihad dalam mencapai matlamatnya walaupun selama mana masa yang akan dilalui sehinggalah dia berjumpa dengan Allah sedang dia sudah mendapat satu antara dua perkara yang elok untuknya iaitu dapat mencapai matlamatnya ataupun mati syahid pada akhirnya. Firman Allah yang bermaksud: “Di antara orang-orang yang beriman, ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur (syahid), dan di antara mereka ada yang menunggu giliran dan mereka tidak mengubah janjinya) sedikitpun” (Al-Ahzab).

5. Ketika Engkau merasa tidak tahu nak menyumbang apa untuk dakwah ini…

Maka bercita-citalah tinggi dalam dakwah ini. Janganlah menunggu jemaah menyusun perjalanan dan tugasan dakwahmu, tetapi engkau sendirilah yang perlu menyusunnya. Letakkan target dirimu untuk dakwah ini, dan kejarlah ia. Semoga ia menjadi pemberat kebaikan untukmu dipengadilan Allah nanti.

Bukankah kita sama-sama mahu berlumba masuk ke syurgaNya?

Nukilan,
Dr Mohd Khairol b. Jambli
YDP ISMA Kuching

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?