Fahaman liberalisme boleh ancam keselamatan negara


KUALA LUMPUR, 25 Mac – Penyebaran fahaman liberal adalah antara isu utama yang perlu dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa kini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, hari ini.

Selain itu, katanya, fahaman politik dan agama yang cenderung kepada ekstremis dan radikal adalah penyumbang ancaman keganasan dari dalam dan luar negara yang mampu mengganggu-gugat perpaduan nasional di negara ini.

“Isu utama yang perlu dihadapi PDRM hari ini antaranya hasutan di laman sosial, penyebaran ajaran sesat, kumpulan pelampau agama, pengganas dan liberisme.

“Isu perkauman dan keagamaan yang dimainkan secara bebas tanpa kawalan mempunyai impak yang serius terhadap masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah penting isu-isu yang melibatkan perkauman dan keagamaan mesti dikekang tanpa jejaskan hak kebebasan bersuara rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada media sempena sambutan Hari Polis ke-208 yang bertemakan ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menggunakan pendekatan lebih tegas dalam usaha mengekang pihak yang menghalalkan perbuatan yang mengancam keselamatan negara dan menjejaskan ketenteraman awam menerusi media dan laman sosial.

Polis katanya, tidak akan memandang remeh penularan ancaman ekstremisme, radikalisme dan kebebasan bersuara yang digunakan bagi menghalalkan perbuatan atau kenyataan berbaur hasutan di laman sosial.

Katanya, ancaman media sosial hari ini mengubah landskap tindakan punitif dan pencegahan PDRM dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang selari dengan cabaran semasa yang dilihat semakin kompleks.

“Ia memerlukan pendekatan yang lebih tegas dalam memastikan pencegahan secara holistik, tambahan apabila isu yang dimainkan melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Saya juga berpendapat mencegah adalah lebih baik dan ia dapat dilihat melalui tindakan kami yang begitu drastik dalam tempoh satu dua minggu kebelakangan ini yang jelas menggambarkan betapa seriusnya kami dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba hasut menggunakan media sosial,” katanya.

Katanya, tindakan drastik dari segi arahan yang diberikannya melalui laman sosial adalah bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan pantas dan cepat dalam apa jua perbuatan yang melanggar peraturan khususnya dalam kegiatan menghasut dan menyebarkan perkara yang tidak benar.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, terdapat pengurangan dalam aktiviti menghasut melalui laman sosial ketika ini, dan berharap ia berterusan serta tiada lagi pihak cuba menyalahgunakan platform itu.

Khalid berkata, polis tidak akan memberikan sebarang amaran khususnya berkaitan kesalahan yang berbaur hasutan sebaliknya tindakan serta-merta akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan.

“Saya telah beri amaran banyak kali khususnya kepada pemimpin politik serta badan bukan kerajaan supaya berhati-hati bila suarakan pendapat dan pandangan khususnya di media sosial kerana ia boleh menjurus kepada keadaan yang mengancam keselamatan awam,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?