Kit Siang tamatkan tahaluf siyasi PAS-DAP-PKR ‘by default’


PERBINCANGAN yang hangat mengenai hudud dan pembentangan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini, berjaya mencarik dan menanggalkan topeng yang selama ini melekat di wajah pemimpin-pemimpin pembangkang daripada DAP.

Ucapan-ucapan dan kenyataan-kenyataan yang konsisten daripada pemimpin mereka hanya mengesahkan apa yang selama ini terbuku di hati mereka dan diketahui umum oleh masyarakat.

Bukanlah satu perkara yang begitu sulit untuk difahami bahawa pelaksanaan syariah Islam di Malaysia adalah satu perkara yang sama sekali tidak akan diterima oleh sebuah parti yang tunjangnya berakar umbi dalam ideologi sosialis sekular dan bersifat rasis dalam operasi parti dan keahliannya. Hakikat bahawa kenyataan-kenyataan lantang para pemimpin DAP yang menentang perlaksanaan syariah di Malaysia tidak disanggah atau dikritik oleh pimpinan peringkat bawahan atau ahli-ahli parti sendiri adalah satu testimoni bahawa pendirian yang sama telah menyerap dan meresap ke dalam setiap peringkat parti DAP.

Sehingga tarikh artikel ini ditulis, belum lagi kedengaran sebarang ‘penentangan’ terhadap kenyataan para pemimpin DAP. Kenyataan Ketua Parlimen DAP (yang disusuli oleh anaknya adalah satu kalimat keramat yang telah diwariskan ke bawah dan dihadam oleh ahli dan para pengikut, tanpa kecuali.

Siapa yang berani menyanggah Dinansti Lim?

Sesiapa yang mempelajari sejarah akan mendapati bahawa DAP adalah antara seteru politik yang dihadapi PAS satu masa dahulu (selain UMNO, yang senario ‘permusuhan’ itu belum dapat dihakis sepenuhnya). Akan tetapi, karakter semula jadi di dalam wilayah politik boleh merubah sifat kesetiakawanan sesuatu pihak – musuh boleh bertukar sekelip masa menjadi kawan, demi mencapai maslahat siyasah masing-masing (sama ada dalam jangkamasa pendek atau panjang).

Begitulah yang berlaku di antara parti-parti PAS dan DAP. (PKR tidak layak diambil kira kerana ia hanya berkisar di sekitar ‘perjuangan’ seorang individu dan keluarganya untuk meraih simpati massa). Bagaimanapun UMNO masih tetap dianggap musuh bersama (common enemy) yang perlu disingkirkan dari Putrajaya. Sebarang perbezaan mengenai ideologi yang mendasari agenda politik masing-masing boleh diselesaikan di meja rundingan – selepas UMNO berjaya ditumbangkan dan Putrajaya jatuh ke tangan gabungan parti-parti politik pembangkang!

Satu-satunya perbezaan besar yang tidak dapat dipersetujui bersama adalah agenda PAS untuk memartabatkan perlaksanaan syariah di Malaysia – HUDUD. Mereka boleh bersatu dalam banyak hal, tetapi bukan dalam isu hudud.

Penentangan yang paling ketara dan lantang datang daripada DAP sendiri. Ini tidak menghairankan kerana ideologi sosialis sekular tidak akan membiarkan Islam dan syariatnya mendominasi keadaan dan iklim politik mana-mana negara sekalipun. Dan DAP sangat konsisten (dari dahulu hingga sekarang) di dalam sikap dan pendiriannya dalam hal ini.

Kita belum pernah melihat DAP mengendurkan atau mengorbankan walau secebis daripada prinsip perjuangan DAP untuk mengakomodasi kehendak PAS atau mengendur penentangannya terhadap perlaksanaan syariah Islam demi mengambil hati PAS.

Bagaimana pula dengan PAS?

Pada pandangan penulis, parti Islam ini sedang bergelut dengan masalah dalaman tersendiri yang serius – penentangan terbuka terhadap Presiden, pendekatan dan pendirian yang berbeza-beza (dan secara terbuka) di antara komponen-komponen penting parti, berkembangnya bibit-bibit penentangan (mutiny) dari kalangan ahli-ahli, pengaruh ideologi asing (liberal dan Syiah) yang sedang menyusup masuk secara halus, kelompongan (vacuum) pada kepemimpinan yang berwibawa di kalangan para pelapisnya dan sikap ‘meremehkan’ bahawa tidak ada apa-apa masalah yang sedang melanda parti.

Namun, di sebalik semua itu, kerajaan Kelantan dan Presiden PAS sendiri (secara tidak langsung) nampaknya enggan menjadikan ‘krisis dalaman’ parti sebagai batu penghalang untuk mengarusperdanakan sekali lagi matlamat untuk mendaulatkan pelaksanaan syariah di Kelantan. Dan mereka berjaya melakukannya dengan ‘manis’ sekali kerana usul ini mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri daripada UMNO.

Sebagaimana pembunuhan Archduke Francis Ferdinand oleh seorang rakyat Serbia telah meletuskan Perang Dunia Pertama, kelulusan undang-undang hudud Kelantan boleh juga dianggap pencetus kepada penamatan tahaluf siyasi secara berseorangan (unilateral) oleh Lim Kit Siang. Dan beliau melakukannya dengan penuh bergaya sekali – menamatkan kerjasama dengan Presiden PAS, tetapi tetap kekal di dalam pakatan rakyat!

Satu tindakan yang sangat melucukan tetapi tidak menghairankan daripada Ketua Parlimen DAP yang baru sahaja kehilangan rakan seperjuangannya dari Singapura.

Adalah ditegaskan bahawa Kit Siang lah yang ‘by default’ telah menamatkan tahaluf siyasi secara efektif antara PAS, DAP dan PKR. Gabungan parti-parti pembangkang ini ibarat retak menanti belah sahaja sejak hari pertama ia didaftarkan dengan disaksikan oleh rakyat sebagai hakim negara. Tindakan Kit Siang sudah tentulah mewakili pendirian rasmi parti.

Tahaluf siyasi sudah tidak ujud lagi. TITIK.

Dengan penamatan tahaluf siyasi oleh Kit Siang, maka apa yang dicurigai oleh rakyat Malaysia khususnya umat Islam telah muncul ke permukaan. Rupa-rupanya sudah ada satu ‘tahaluf siyasi’ lain yang sedia menanti – iaitu gabungan antara DAP, PKR, MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti politik lain yang sedang menunggu masa yang sesuai untuk bergabung.

Senario seperti di atas tidak sulit difahami. Lihat sahaja tajuk-tajuk akhbar (bercetak dan alam maya) yang memuatkan kenyataan-kenyataan solidariti daripada parti-parti politik utama dalam negara. Semuanya sebaris dan senafas dengan pendirian lantang DAP – walaupun cara mereka menzahirkan kebersamaan itu berbeza-beza mengikut ‘kebijaksanaan’ pemimpin mereka.

PAS tidak rugi sedikitpun dengan ketegasan Presidennya dan kerajaan negeri Kelantan untuk mendaulatkan syariah Islam di negeri itu. Mungkin terdapat kritikan dan ruang-ruang penambahbaikan yang boleh diperhalusi lagi, akan tetapi ia secara tidak langsung membuktikan bahawa perlaksanaan syariah Islam adalah elemen penyatu padu dan sangat rapat dengan kewujudan umat Islam.

Satu kesan langsung yang timbul daripada kejayaan kerajaan Kelantan adalah kegagalan agenda kumpulan pendesak dan penentang yang cuba untuk ‘merosakkan’ PAS dari dalam. Ada yang menyifatkannya sebagai permulaan satu proses pembersihan parti daripada anasir-anasir perosak di semua peringkat. Ada juga yang mengatakan bahawa Presiden melambangkan kekuatan parti dan simbol kuasa sebenar. Bagaimanapun, hala tuju dan realiti sebenar parti ini akan diketahui pada muktamarnya yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi.

Kesan tidak langsungnya pula adalah timbulnya suara-suara ‘penentangan’ dari kalangan gerakan-gerakan sivil, individu dan perseorangan, NGO dan sebagainya dari kalangan umat Islam sendiri, yang sama ada mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Kelantan, kebijaksanaan parti dan Presiden PAS atau terhadap isu hudud itu sendiri. Dilihat dalam konteks yang lebih luas, sikap dan pendirian mereka bolehlah diklasifikasikan sebagai ‘mini tahaluf siyasi’ yang sebaris dengan tahaluf siyasi baru tajaan DAP.

Dalam keadaan seperti ini, apakah alternatif terbaik untuk umat Islam?

Jawapannya terletak pada tawafuq Islami (Permuafakatan Secara Islam). Ia merupakan satu langkah untuk mempersatukan kembali umat Islam dan bangsa Melayu di dalam kerangka Islam dan martabatnya bangsa. Persamaan yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam dan bangsa Melayu adalah lebih banyak daripada perbezaannya.

Tanpa disedarinya, Kit Siang telah membuka jalan ke arah itu!













Mohd Luttfi Abdul Khalid
Peguam dan aktivis ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak kena mengena dengan ISMA mahupun Media Isma Sdn Bhd

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?