Presiden ISMA kesal laporan TMI tidak tepat
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 23 Mac – Laporan berita The Malaysian Insider (TMI) mengenai gerakan pemisahan yang mahu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia seolah-olah mahu melagakan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dengan rakyat kedua-dua negeri itu.
Dalam laporan tersebut yang dipetik daripada ucapan dasar Mesyuarat Agung Tahunan ISMA Ke-14 pada Sabtu lalu, TMI menyatakan Presiden ISMA menyifatkan tindakan gerakan pemisahan sebagai politik kehaiwanan.
Tegasnya, ISMA memang tidak bersetuju dengan gerakan pemisahan untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
“Tetapi ISMA menyokong tuntutan yang adil yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya mengulas laporan TMI Sabtu lalu yang menyiarkan berita bertajuk ‘Hasut keluar Sabah, Sarawak, politik ‘kehaiwanan’, kata Isma.
Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab media pro liberal ini ujar Ustaz Abdullah, laporan yang disiarkan tidak tepat dan sengaja diputar belit.
“Memang saya ada menyebut mengenai gerakan pemisah. Tetapi saya langsung tidak mengaitkannya dengan politik kehaiwanan.
“Saya mengatakan umat Islam perlu memilih jalan bersatu padu, mengambil pendekatan berbincang dan berdialog untuk mencari titik pertemuan ke arah mengukuhkan perpaduan demi menyelamatkan masa depan negara.
“Jadi kita perlulah menghentikan politik ‘kehaiwanan’ yang hanya mementingkan diri tanpa mengira kesan kepada masa depan agama, bangsa dan negara.
“Jika dibaca dan difahami, ‘politik kehaiwanan’ itu tidak dituju kepada Sabah dan Sarawak. TMI sudah salah faham,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan