ADUN pembangkang tak hormat Sultan: MB Perak


IPOH, 31 Mac – “Tuanku amat berharap sesi bergambar diadakan kerana pertama kali baginda dengan penuh bersejarah merasmikan Dewan Undangan Negeri dan dalam titah ucapan, tuanku menyebut hari ini adalah pembukaan dewan yang bersejarah bagi baginda selaku seorang Sultan”.

Demikian kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berikutan tindakan 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menunjukkan sikap biadab tidak memakai pakaian rasmi ketika Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya memakai pakaian serba hitam, hari ini.

Zambry kecewa dengan tindakan ADUN pembangkang yang tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang mencatatkan sejarah keberangkatan pertama baginda ke DUN selaku Sultan Perak ke-35, sedangkan baginda sendiri mengenakan pakaian rasmi Sultan.

“Hari ini merupakan majlis istiadat pembukaan dewan yang memerlukan mereka memakai pakaian seperti sebelum ini, tetapi mengapa hari ini jadi begini, apa pun alasan yang mereka berikan saya tidak terima sama sekali.

“Pembangkang memakai serba hitam melambangkan kematian, kesedihan, kegelapan dan berkabung,” katanya kepada pemberita selepas istiadat itu, hari ini.

Katanya, perbezaan yang wujud antara kerajaan dan pembangkang tidak perlu dipanjangkan sehingga ke tahap memalukan Sultan.

Sambil menyifatkan tindakan ADUN pembangkang itu tidak menghormati institusi diraja, Zambry berkata, tindakan biadab itu juga menyebabkan Sultan Nazrin menitahkan untuk tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.

Beliau berkata, ADUN pembangkang itu mungkin akan memohon maaf kepada Sultan Nazrin Shah atas keterlanjuran mereka, tetapi perbuatan memakai pakaian serba hitam telah memperlihatkan sikap sebenar mereka.

“Rakyat akan lihat watak mereka ini… mungkin dia nak elak daripada isu lain, ini strategi mereka, tetapi janganlah sampai perkara yang tidak sewajarnya dipolitikkan turut dipolitikkan,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?