ASEAN mesti gantung keanggotaan rejim apartheid Myanmar
Kita pula kena gantung semua bentuk kerjasama dengan kerajaan apartheid Myanmar sebagai bantahan terhadap tindakan rejim negara itu ke atas etnik Rohingya
SEBAGAIMANA kami menyatakan dalam ruang KATA-KATA PEDANG ini semalam, sekali lagi kami mengulangi bahawa ASEAN mesti menggantung keanggotaan rejim Myanmar sehingga pemerintah negara itu memberi jaminan keselamatan serta mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyatnya.
Dalam hal ini masyarakat antarabangsa mesti bersama-sama ASEAN memberi kata dua dan tekanan kepada negara di bawah kuasa tentera itu supaya menghormati hak kemanusiaan.
Sejak beberapa tahun lalu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) melaporkan beribu-ribu etnik Muslim Rohingya melarikan diri dari negara apartheid itu akibat diskriminasi kerajaan dan penghapusan etnik oleh ekstremis Buddha Theravada.
Ribuan umat Islam sewenang-wenangnya dipenjara dan dibunuh oleh puak radikal diketuai oleh sami Buddha yang ekstrem. Rumah dan kampung dibakar, sedang rejim apartheid Myanmar hanya berdiam diri.
Akibatnya, etnik minoriti Rohingya membuat keputusan meninggalkan kampung halaman mereka. Kesempatan daripada kedudukan negara apartheid Myanmar yang satu per tiga tanahnya di kelilingi pesisir pantai, diambil oleh etnik Rohingya untuk melarikan diri menggunakan jalan laut.
Sejak bertahun-tahun lalu mereka mula menggunakan kapal diperbuat daripada kayu menuju tiga negara utama yang pesat membangun – Malaysia, Thailand dan Indonesia. Namun, Malaysia dilihat lebih baik bagi mereka kerana selain bersempadan dengan Thailand, majoriti rakyat beragama Islam.
Mereka menjadikan beberapa pulau di perairan Thailand sebagai perhentian, sementara menunggu peluang mendarat di tanah besar. Sindiket pemerdagangan manusia mengambil kesempatan ke atas mereka dengan janji diseludup masuk ke Malaysia. Kem-kem sementara diwujudkan oleh sindiket terbabit di sempadan Thailand-Malaysia.
Menyedari semakin ramai pelarian yang cuba menyeludup masuk, Malaysia, Thailand dan Indonesia mengetatkan kawalan di perairan masing-masing. Akibatnya, ribuan pelarian Muslim Rohingya yang menaiki kapal tersadai di tengah laut, menjadi ‘orang hanyut’ dengan bekalan makanan yang sedikit.
Selepas menerima desakan antarabangsa, Malaysia, Thailand dan Indonesia akhirnya bersetuju membenarkan kapal-kapal yang membawa pelarian itu mendarat. Namun, adakah langkah ini akan menyelesaikan masalah etnik Muslim Rohingya di negara apartheid itu? Selama manakah kita akan terus menerima pelarian itu?
Tidak! Oleh kerana punca krisis kemanusiaan itu berakar umbi di Myanmar, maka kerajaan apartheid negara itu mesti diberi kata dua.
Usaha Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membantu etnik Rohingya sebelum ini mendapat bantahan rakyat negara itu yang dikepalai sami-sami Buddha. Malah, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Myanmar memberi kewarganegaraan kepada etnik Rohingya juga tidak dipedulikan.
Kini, terletak di tangan ASEAN untuk menyelesaikannya. Ia bukan lagi menjadi isu dalaman negara apartheid Myanmar, tetapi oleh kerana rakyatnya melarikan diri dan mendapatkan pelindungan di negara lain maka ia menjadi isu antarabangsa, khususnya di Asia Tenggara.
Myanmar diterima menganggotai ASEAN pada 1997. Antara alasan penerimaannya ialah pemerintah negara itu membuktikan mereka menghormati hak asasi manusia dan kebebasan demokrasi. Kini, negara itu terang-terang melanggar hak asasi manusia apabila secara diam-diam melaksanakan langkah penghapusan etnik.
Kata Pedang: Di Myanmar, majoriti menekan minoriti. Di Malaysia, minoriti menekan majoriti.
Penafian: KATA-KATA PEDANG adalah segmen lidah pengarang yang diterbitkan setiap hari dan pandangan yang dilontarkan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai pertubuhan Islam sederhana.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan