Bantah hukuman mati terhadap Morsi

sudan

KHARTOUM, Sabtu – Beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabat Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di sini, semalam sebagai membantah hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Jenayah Mesir ke atas bekas Presiden Mohamed Morsi, minggu lalu.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan beberapa kumpulan dan parti politik Sudan yang turut dihadiri rakyat Mesir yang tinggal di negara itu.

Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Jenayah Mesir menghukum mati terhadap Morsi, presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, bersama 105 tertuduh yang lain atas dakwaan melarikan diri dari penjara ketika revolusi terhadap kepemimpinan Hosni Mubarak pada 2011 lalu.

Hukuman mati itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Mufti Besar Mesir yang dijangka membuat keputusan akhir 2 Jun ini.

Morsi yang dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin, dipilih menjadi Presiden Mesir pada 2012, tetapi digulingkan setahun kemudian oleh Ketua Angkatan Tentera, Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi pada 3 Julai 2013 yang kemudian mengisytiharkan diri sebagai presiden.

Al-Sisi kemudian mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pergerakan pengganas sebelum mengharamkannya dan melaksanakan tindakan besar-besaran menangkap pemimpin dan penyokong Ikhwanul Muslimin di seluruh Mesir.

Semalam, beribu-ribu orang berarak dari sebuah masjid selepas solat Jumaat menuju pejabat UNDP yang terletak di Timur Laut bandar ini.

Penunjuk perasaan membantah hukuman yang dikenakan terhadap Morsi sambil melaungkan ‘hapuskan kuasa tentera’ dan ‘Sisi adalah ejen Israel’. Mereka turut mengibarkan bendera Mesir dan gambar Morsi.

Kerajaan Islam Sudan pimpinan Presiden Omar al-Bashir, sebelum ini berkata, keputusan terhadap Morsi adalah masalah dalaman Mesir. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?