DI MANA ADA SUARA AZAN DI SITU BUMI KAMI!
Mereka yang menjawab suara azan dan menunaikan seruan yang dikumandangkan itu juga adalah saudara kita. Demikianlah janji kita kepada ribuan etnik Rohingya yang kini menjadi pelarian.
MEMBANTU sesama Islam amat digalakkan. Apatah lagi dalam keadaan saudara seagama kita itu sedang menghadapi dugaan hingga terpaksa meninggalkan kampung halaman, mencari bantuan di negara yang ‘ada suara azan’.
Sudahlah Kerajaan Myanmar sendiri tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat, didiskriminasi dan dipinggirkan, kumpulan radikal Buddha diketuai oleh sami-sami sendiri menanam bibit kebencian terhadap agama Islam yang dianuti oleh etnik Rohingya.
Kini apa yang berlaku, khususnya di negeri Rakhine di Myanmar bukan lagi pembasmian etnik, sebaliknya penghapusan agama oleh penganut majoriti.
Ribuan umat Islam di negeri itu diserang dan dibunuh oleh pengikut Buddha diketuai sami mereka. Kerajaan negara ‘rejim apartheid’ Myanmar hanya membiarkan saja umat Islam dibunuh.
Paling memalukan negara itu ialah pejuang kebebasan mereka yang suatu ketika dulu pernah mengemparkan dunia dan turut mendapat simpati daripada negara-negara Islam termasuk Malaysia, Aung San Suu Kyi, hanya mendiamkan diri. Apa yang boleh kita katakan terhadap kepura-puraan Suu Kyi memperjuangkan kebebasan di Myanmar ialah ‘KAMU AMAT MEMALUKAN. SEWAJARNYA KAMU KEMBALIKAN ANUGERAH NOBEL YANG DIBERI KEPADA KAMU DAHULU’.
Kita tidak pasti adakah agama Buddha mengajar pengikutnya melakukan pembunuhan ke atas penganut agama lain atau mungkin sami-sami ini, terutama pemimpin pergerakan 969, sami Ashin Wirathu, sebenarnya golongan Buddha ‘sesat’.
Sehubungan itu, kita menyokong usaha Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai pertubuhan Islam sederhana dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang mengajak seluruh umat Islam bersama mereka dalam kempen mengutuk kekejaman pelampau Buddha Myanmar ke atas etnik Muslim Rohingya.
Menggunakan hashtag #KembalikanTanahRohingya, PEMBINA mengajak rakyat menukar gambar profil di akaun Facebook masing-masing bermula semalam dengan gambar khas yang disediakan di Facebook mereka .
“Ayuh kita sebarkan mesej marah kita kepada mereka dengan share dan tukar profile picture baru ini! Kita akan berkempen bersama-sama sehingga Kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman mereka,” kata Anggota Jawatankuasa Pusat PEMBINA, Aizat Farhan Rohizat.
Begitu juga kita menyokong usaha Yayasan Ikhlas yang melancarkan kempen #KitaBersaudara bagi mengumpul sumbangan dan bantuan kepada rakyat Rohingya yang ditindas.
“Yayasan Ikhlas melihat isu Rohingya ini sebagai satu pembunuhan perlahan yang dibuat kerajaan Myanmar dengan menghapuskan etnik Rohingya (kelompok Muslim) dan menguasai negara dengan pengaruh Buddhist. Dalam masa yang sama, sebagai sebuah negara (Malaysia) yang dilihat harmoni dan berperikemanusiaan, kita harus membantu mereka sedaya mungkin. Rakyat dan Kerajaan Malaysia juga perlu bertindak menekan kerajaan Myanmar atas tindakan mereka.” Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan Ikhlas, semalam
Marilah sama-sama kita menyokong usaha itu. Kita tidak meminta RM42 bilion, tetapi cukup jika setiap umat Islam di negara ini menghulurkan sumbangan satu ringgit untuk menyelamatkan nyawa saudara seagama, bukan menyelamatkan mana-mana syarikat.
Kata Pedang: Rakyat Malaysia bertuah kerana umat Islam yang menjadi majoriti tidak melakukan penghapusan terhadap penganut agama lain. Namun, masih ada puak-puak rasis dan cauvinis yang tidak berterima kasih dan bersyukur dengan sopan santun umat Islam dan bangsa Melayu!
Penafian: KATA-KATA PEDANG adalah segmen lidah pengarang yang diterbitkan setiap hari dan pandangan yang dilontarkan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai pertubuhan Islam sederhana.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan