Filipina buru pakar bom rakyat Malaysia

basilan

Pelbagai peralatan yang dirampas dalam serbuan tentera ke atas kem Abu Sayyaf di Pulau Basilan, kelmarin.

MANILA, Ahad – Tentera kerajaan di Selatan Filipina meningkatkan gerakan memburu seorang suspek pakar bom rakyat Malaysia yang disyaki membantu kumpulan ekstremis yang ada kaitan dengan militan Al-Qaeda tempatan.

Suspek dikenali sebagai Mohammad Najib dipercayai melarikan diri selepas sepasukan tentera menyerbu sebuah kem membuat bom di selatan Pulau Basilan, dua hari lalu, kata komander tentera di pulau itu, Kolonel Joselito Rolando Bautista.

Dalam serbuan ke atas kem kumpulan Abu Sayyaf itu, tiga militan dan seorang anggota tentera terbunuh.

“Mohammad Najib membantu Ketua Abu Sayyaf, Ustaz Abbas Alam di kawasan itu untuk membuat bom dan merekrut golongan muda,” katanya.

Datuk Bandar, Jai Pawaki juga berkata, rakyat Malaysia itu membantu kumpulan Abu Sayyaf, terutama untuk membuat bom.

Kedua-dua pegawai Kerajaan Filipina itu berkata demikian ketika mengiringi sekumpulan wartawan melihat kem Abu Sayyaf yang ditawan itu. Antara barang yang ditemui di kem itu termasuk set radio, ammonia nitrate, gulungan wayar, komponen elektrik dan paip besi yang dipasang bahan letupan.

Mereka juga menunjukkan bendera yang sama digunakan oleh kumpulan militan IS di Iraq dan Syria.

“Rampasan ini adalah satu tamparan hebat kepada kumpulan Abu Sayyaf dan rancangan mereka untuk melakukan pengeboman,” kata Bautista.

Kumpulan Abu Sayyaf mendapat perhatian antarabangsa berikutan serangan ganas dalam sejarah Filipina, termasuk pengeboman serta melakukan penculikan warga asing bagi mendapatkan wang tebusan. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?