IMEC 2015: Tanggungjawab lelaki lebih besar


Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

AMPANG, 9 Mei – Islam tidak berat sebelah kepada lelaki seperti yang didakwa oleh pejuang feminis, sebaliknya ‘kelebihan’ yang dikurniakan disertakan dengan tanggungjawab besar yang perlu ditunaikan oleh kaum Adam.

“Merujuk kepada Surah Tahrim ayat ke-6, Allah memberi arahan kepada kaum lelaki untuk menjaga diri dan keluarga mereka daripada api neraka. Ini adalah tanggungjawab paling besar yang perlu dipikul oleh lelaki,” kata Setiausaha Biro Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Umar Hakim Tajuddin.

Katanya, pejuang feminisme sengaja mengulang-ulang silap faham mereka terhadap Islam supaya dapat mempengaruhi golongan wanita untuk mengabsahkan perjuangan mereka.

“Segala salah faham dalam isu pewarisan harta dan persaksian contohnya, disebut berulang kali oleh kumpulan feminis. Tanpa silap faham ini, perjuangan mereka akan terhenti,” katanya lagi ketika menjadi panelis jemputan dalam forum bertajuk ‘Perkasa wanita, perkasa ummah’ dalam Persidangan Memperkasakan Wanita Antarabangsa (IMEC 2015) di sini, hari ini.

Katanya, pengabaian hak wanita memang berlaku dan Islam tidak boleh dipersalahkan.

Sebaliknya, kaum lelaki perlu diberikan pendidikan Islam agar lebih bertanggungjawab sebagai ketua keluarga dan menunaikan hak isteri dan anak-anak.

Tiada masalah dengan lelaki, jantina

Sementara itu, tokoh debat antarabangsa dalam isu feminisme, Zara Huda Faris berkata, segala masalah yang melibatkan wanita seperti pengabaian hak dan keganasan rumah tangga, tidak boleh disandarkan kepada lelaki sebagai punca.

“Ia bukan isu lelaki atau jantina. Ia adalah sikap individualistik, mementingkan diri sendiri, tidak bertanggungjawab. Hal ini boleh dirawat dengan ilmu dan pendidikan Islam,” katanya dalam forum yang sama.

Utamakan perkara yang penting

Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Johor, Dr Farrah Nadia Najib pula berkata, sebagai seorang ibu, isteri yang berkerjaya dan aktif di dalam dakwah, seseorang wanita perlu pandai membahagikan masa berdasarkan keutamaan.

“Sebagai ibu kepada empat anak, isteri, pegawai perubatan di hospital dan aktivis dakwah, saya perlu meletakkan keutamaan kepada perkara yang penting.

“Saya berkorban masa rehat bagi memastikan kebajikan suami dan pendidikan anak-anak terpelihara, pada masa yang sama saya juga sentiasa berusaha menjadi doktor terbaik untuk pesakit saya. Pada masa sama saya perlu aktif dalam dakwah ISMA.

“Semua ini menuntut kepada usaha, ilmu dan pengorbanan,” katanya selaku panelis ketiga.
Forum ini dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA, Hanan Othman selaku moderator.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian