Jemaah haji, umrah kena pakai gelang elektronik
JEDDAH, Selasa – Semua jemaah yang bakal menunaikan haji dan umrah dari seluruh dunia selepas ini perlu memakai gelang elektronik yang menyimpan maklumat penting jemaah termasuk alamat kediaman di Arab Saudi dan rekod-rekod penuh perubatan.
Lapor akhbar Al-Watan, Kementerian Haji dan Kementerian Dalam Negeri sudah menyiapkan satu kajian bagi memperkenalkan skim gelang elektronik tersebut.
Skim itu mempunyai enam fasa, bermula dari kajian awal, perancangan, mendapatkan kelulusan, membentuk jawatankuasa, penghasilan dan penguatkuasaan, pengagihan serta pengawasan.
Difahamkan, gelang elektronik tersebut bersifat kalis air, mempunyai kod bar dan perlu dipakai setiap jemaah. Dengan mengimbas kod itu, kementerian berkenaan boleh mendapatkan semua maklumat yang diperlukannya.
Gelang elektronik tersebut juga menyediakan sistem GPS dan pelbagai khidmat dan kemudahan untuk jemaah. Ia termasuk sistem peringatan waktu solat, tanda arah kiblat serta panduan cara mengerjakan haji dan umrah.
Talian untuk mendapatkan maklumat juga akan disediakan dalam pelbagai bahasa, untuk membantu para jemaah agar tidak tersesat jalan di Makkah.
Gelang elektronik itu dikatakan bertujuan menyediakan kemudahan kepada para jemaah dengan sebaik mungkin, dan mempercepatkan pelbagai proses, seperti mengumpul statistik para jemaah. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan