Klip video Myvi dipandu laju sebelum nahas tersebar luas
KUALA LUMPUR, 3 April – Sebuah klip video yang dimuat naik dalam laman youtube mungkin menjadi bahan bukti utama menunjukkan enam kereta Myvi dipandu laju dan dikatakan terbabit dalam nahas mengorbankan tiga beranak di Lebuhraya DUKE, tengah malam kelmarin.
Klip video berdurasi 29 saat itu menunjukkan tindakan pemandu Myvi terbabit memandu laju berbanding kenderaan lain ketika melintasi tol di lebuh raya berkenaan menuju Damansara.
Menurut anak saudara Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, yang maut dalam nahas terbabit, keluarga mangsa diberi maklumat terbaru oleh pihak polis yang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Menurut pihak polis, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Setiawangsa jelas menunjukkan bahawa kereta-kereta Myvi tersebut dipandu dengan laju seperti sedang berlumba di lebuh raya tersebut,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini.
Sehingga kini, polis sudah menahan dua pemandu untuk membantu siasatan selain mendapatkan keterangan daripada lima saksi kejadian. Bagaimanapun, mereka sudah dibebaskan dengan jaminan.
Dalam nahas itu, Fairuz Nizam maut di tempat kejadian, sementara isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa berusia 7 bulan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beberapa saksi turut tampil di balai polis memberi keterangan bahawa kereta Myvi terbabit memang dipandu laju sebelum kejadian.
Muhd Zaki Abdullah antara saksi terawal kemalangan itu berkata, dia yang sedang memandu dari Setiawangsa menghala ke susur keluar Gombak melihat beberapa kereta jenis Perodua Myvi yang berlumba dalam keadaan laju.
“Ketika itu saya di lorong tengah. Selang 10 saat saya nampak Pajero yang dipandu oleh mangsa berpusing dan mangsa tercampak keluar.
“Sebuah Myvi dari lorong kanan melanggar Pajero itu di lorong tengah. Apabila Pajero cuba mengelak, ada sebuah lagi Myvi dari lorong kiri juga melanggar Pajero itu dan berpusing,” katanya.
Sementara itu, kumpulan pengguna FB yang prihatin dan simpati terhadap mangsa yang terkorban memuat naik pelbagai foto, termasuk laporan saksi kejadian dalam laman FB.
Ini termasuk screenshot mesej daripada seorang ahli kelab berkenaan yang mendakwa mengenali beberapa pihak di Bukit Aman dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya bagi memudahkan siasatan.
“Yana dh lega skit sbb jpj putrajaya n ketua polis bukit aman tau Yana ade org dlm.” Itu antara kata-kata seorang wanita hanya dikenali sebagai Yana dipercayai jurucakap kelab Myvi berkenaan ketika bersembang dengan rakan-rakannya dalam mesej berkenaan.
BERITA BERKAITAN:
1. FB kelab Myvi kena ‘serang’ gara-gara kemalangan maut tiga beranak
2. Polis masih siasat kemalangan maut 3 beranak
3. Angkara 6 MyVi berlumba, tiga beranak tidak bersalah terbunuh
Ulasan
Catat Ulasan