Mengapa wanita ramai masuk neraka?
Menolak dakwaan feminis hadis hina, rendahkan martabat wanita
SEMPENA INTERNATIONAL MUSLIMAH EMPOWERMENT CONFERENCE 2015
(9 MEI 2015)
HADIS daripada Abu Sa’id al-Khudri bermaksud:
Rasulullah SAW keluar pada hari raya Aidil Adha atau Aidil Fitri menuju tempat solat, kemudian baginda melalui tempat solat wanita, baginda bersabda: “Wahai sekalian wanita, bersedekahlah kalian, sesungguhnya aku melihat kalian adalah penduduk neraka paling banyak. Para wanita bertanya: “Apa puncanya wahai Rasul Allah SAW?” Baginda menjawab: “Kalian banyak melaknat dan tidak bersyukur kepada suami. Tiada aku lihat golongan yang lemah akal dan agamanya yang dapat menghilangkan fikiran lelaki yang cerdas kecuali kalian”. Mereka bertanya: “Apa kekurangan akal dan agama kami wahai Rasul Allah SAW?” Baginda menjawab: Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan setengah kesaksian lelaki? Mereka menjawab: Betul wahai Rasul Allah SAW. Baginda bersabda: “Itulah kekurangan akalnya”. (al-Bukhari, Kitab al-Siyam, Bab Tarku Al-Haid Al-Saum, hadis no. 298) Hadis ini bertaraf Sahih dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya.
Sabab Wurud Hadis
Apabila merujuk kepada sabab wurud ataupun sebab hadis ini diucapkan, didapati bahawa hadis ini Rasulullah SAW menyampaikan sabdakan setelah baginda menunaikan solat gerhana matahari dengan para sahabat, kemudian Allah SWT menampakkan syurga dan neraka kepada baginda. Para sahabat menanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai apa yang baginda nampak? Baginda SAW menceritakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah wanita. Kerana apa? Kerana dia derhaka terhadap suami dan berpaling daripada melakukan kebaikan.
Maka, hadis ini adalah sebagai suatu maklumat daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang Allah nampakkan kepada baginda.
Selain daripada hadis di atas, terdapat juga hadis riwayat Ibn Hajar yang menyatakan bahawa dalam hadis Jabir terdapat dalil yang menunjukkan bahawa yang terlihat dalam neraka adalah wanita-wanita yang memiliki sifat- sifat tercela seperti mana yang disebut dalam hadis;
Maksudnya:
Orang yang paling banyak aku lihat di dalam neraka adalah kaum wanita yang apabila diberi kepercayaan menyimpan rahsia dia bocorkan, apabila diminta sesuatu kepadanya ia bakhil, apabila mereka meminta, mereka bersikap keras dan meminta lebih banyak, dan mereka tidak pandai berterima kasih. (Ahmad juz 3, hlm 532 dan dikemukakan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari juz 2 hlm 542)
Sekarang, mari kita lihat kepada pengajaran-pengajaran daripada hadis di atas.
Pengajaran Pertama:
Kaum Wanita Itu Hendaklah Sentiasa Menjaga Hak-Hak Suaminya
Hadis-hadis di atas hakikatnya langsung tidak bertujuan menggambarkan imej buruk kaum wanita. Hadis di atas termasuk dalam bab altarghib wa al-tarhib, iaitu memberi anjuran dan ancaman terhadap sesuatu perkara.
Hakikatnya, hadis-hadis di atas adalah peringatan daripada Rasulullah SAW bahawa neraka akan dipenuhi dengan wanita disebabkan hal-hal tertentu. Peringatan Rasulullah SAW ini jika tidak dijauhkan akan menyebabkan diri seseorang itu diazab di dalam neraka. Al-Sheikh Muhammad ibn Salih al-‘Uthaymin turut menjelaskan bahawa penyebab utama kalangan wanita ramai menjadi penghuni neraka adalah kerana mereka banyak mencela, melaknat, menghina dan mengingkari suami.
Oleh itu, kesimpulan daripada hadis-hadis di atas ialah dosa yang paling banyak menyeret wanita masuk ke neraka adalah kemaksiatan terhadap suaminya dan pengingkaran terhadap kebaikan suaminya. Maka pengajaran yang sangat besar daripada hadis ini ialah agar kaum wanita itu hendaklah sentiasa menjaga hak-hak suaminya. Keluarga adalah batu bata sesebuah masyarakat. Maka ketuanya iaitu suami dan juga bapa mestilah dihormati. Jika tidak, keluarga itu akan terdedah kepada kehancuran.
Pengajaran Kedua:
Hindarkan Daripada Sebab Jatuh Ke Dalam Neraka
Hadis ini juga memberikan kefahaman mengenai manfaat yang dapat diambil oleh seluruh kaum muslimin, baik lelaki mahupun wanita. Manfaat yang besar itu adalah agar mereka melakukan perbuatan yang akan menghindarkan diri daripada seksa neraka. Bagi kaum wanita, antara cara menghindarkan diri daripada neraka berdasarkan hadis ini adalah dengan meninggalkan sikap derhaka terhadap suami dan derhaka terhadap budi baiknya.
Pengajaran Ketiga:
Bukan Sekadar Peringatan Buat Wanita
Sesungguhnya hadis ini juga amaran untuk kaum lelaki agar mereka menghindarkan diri daripada api neraka dengan menunaikan semua kewajipan mereka terhadap ibu-ibu mereka, isteri-isteri mereka, puteri-puteri mereka, dan saudari-saudari mereka. Mereka mesti memelihara mereka dengan baik dan menyediakan peluang yang cukup untuk mendapatkan pengajaran dan nasihat yang berkesan serta melakukan ibadah dan ketaatan kepada Allah sehingga hati mereka dipenuhi nilai-nilai iman dan takwa. Hendaknya kaum wanita diberi kesempatan agar mereka dapat melaksanakan amal soleh seperti sedekah, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran lain-lain. Tanggungjawab ini sepenuhnya ada di bahu kaum lelaki. Sebagaimana disebut di dalam sebuah hadis;
Maksudnya:
“Ketahuilah bahawa kalian semua adalah pemimpin dan kalian semua diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kalian pimpin, pemerintah adalah pemimpin bagi manusia dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadapnya, seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan ia diminta bertanggungjawab terhadapnya”. (al-Bukhari, Kitab al-Ahkam bab Qawlu Ta‘ala: Ati’u Allah Wa Ati‘u al-Rasul Wa Ulil Amri Minkum, hadis no. 6719)
Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa hadis ini tidak hanya amaran untuk wanita tetapi sekali gus untuk kaum lelaki dan bukanlah merendahkan terhadap perempuan seperti sangkaan para feminis liberal.
Pengajaran Keempat:
Menolak Dakwaan Feminis
Golongan feminis mendakwa hadis di atas menghina dan memandang rendah martabat kaum wanita. Para aktivitis feminis liberal mengecam hadis ini dengan mengatakan hadis ini menjatuhkan kedudukan wanita, seolah-olah perempuan adalah makhluk yang paling jahat sehingga mereka menjadi penghuni neraka paling banyak. Mereka juga mengatakan mengapakah wanita disebutkan lebih banyak masuk neraka, padahal wanita diciptakan sama seperti lelaki, iaitu tidak mempunyai dosa asal.
Hakikatnya, dakwaan feminis bahawa hadis di atas menghina dan memandang rendah martabat kaum wanita, adalah berpunca daripada sikap pesimistik terhadap maksud hadis yang sebenar tanpa melihat intepretasi melalui pandangan para ulama terlebih dahulu. Sesuatu hadis perlu diteliti, difahami dengan baik, di samping mengumpulkan riwayat-riwayat yang mempunyai pengertian yang serupa agar pemahaman sebenar terhadap hadis dapat diperoleh.
Kesimpulannya, hadis di atas bukanlah hadis yang merendah-rendahkan kaum wanita. Akan tetapi ia adalah sebuah peringatan daripada baginda SAW agar kaum wanita berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan mereka terjatuh ke dalam neraka.
Dan seperti mana yang disebutkan di dalam hadis antara perkara yang boleh menyebabkan wanita jatuh ke dalam neraka ialah kemaksiatan terhadap suaminya dan pengingkaran terhadap kebaikan suaminya.
Ustazah Suriani Sudi
Timbalan Ketua Wanita ISMA
Ulasan
Catat Ulasan