Mesir bubar 50 NGO ada hubungan dengan Ikhwanul Muslimin
KAHERAH, Rabu – Mesir mengarahkan pembubaran 50 NGO di lima bahagian pentadbiran negara itu yang mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Perpaduan Sosial Mesir, Ghada Wali, berkata langkah itu dibuat sebagai mematuhi keputusan Mahkamah Kaherah pada 2013, yang mengisytiharkan Ikhwan Muslimin sebagai pertubuhan haram.
Mahkamah juga mengharamkan semua kegiatan gerakan Islam itu dan menghalang kegiatan semua NGO yang ada hubungan dengannya.
Lima puluh NGO yang ada hubungan dengan Ikhwan Muslimin pada masa ini beroperasi di lima bahagian pentadbiran; 23 di Beheira, 14 di Fayoum, sembilan di Bani Suef, tiga di Gharbia dan satu di Kaherah.
Menteri wanita itu juga mengeluarkan arahan untuk melantik lembaga pengarah baru bagi 27 NGO di enam wilayah pentadbiran termasuk Qena, Utara Sinai dan Luxor.
Pembubaran kumpulan 50 NGO terbaru ini adalah yang keempat dibuat oleh kementerian sama sejak Februari 2015.
Setakat ini, 420 NGO yang mempunyai hubungan dengan Ikhwan Muslimin telah dibubarkan.
Pada November 2013 kerajaan kudeta Mesir memutuskan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah pertubuhan pengganas. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan