Pak Lah letak jawatan sebelum tamat penggal, kata Tun M kepada Najib
Oleh Azri El
BANGI, Jumaat – Dengan segala ‘kerosakan besar’ yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak, maka tiada salah untuk mendesak Perdana Menteri itu meletak jawatan, sekalipun belum tamat penggalnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menulis dalam entri terbaru di blognya hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, seorang pemimpin yang dipilih tidak kebal untuk disingkir sebelum tamat penggalnya.
“Oleh itu, apa yang salah dengan meminta PM semasa (Najib) meletak jawatan. Beliau jelas telah buat masalah yang lebih besar di negara ini berbanding PM sebelumnya (Abdullah),” tulisnya di blog http://chedet.cc
Malah katanya, Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah dipujuk meletak jawatan sebelum penggalnya tamat sedangkan dia juga seorang Perdana Menteri yang dipilih, malah dengan majoriti yang lebih besar.
Semalam, Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau sedia berjumpa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi menjelaskan segala kritikan beliau terhadap Najib.
Beliau berkata, dengan segala kritikan lantang dalam pelbagai isu termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum ini, MT UMNO sepatutnya memanggil beliau untuk memberi penjelasan.
“Presiden UMNO sepatutnya menjemput saya untuk memberi justifikasi kepada setiap kritikan selama ini. Biar semua ahli mendengar sendiri,” kata beliau seperti dilapor AstroAwani.
Laporan itu menyebut Dr Mahathir yang kini berada di Jepun, memberitahu perkara itu ketika dihubungi bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan malam tadi.
Tun Dr Mahathir juga berkata, ketika pentadbiran oleh orang lain tiada kedengaran cakap-cakap mengenai Perdana Menteri berbelanja mewah dengan membeli pelbagai barang mahal selain menjalani kehidupan yang mewah.
“Sebahagian daripada cakap-cakap ini mungkin tidak benar. Tetapi perbincangan itu tidak didengar sepanjang tempoh Perdana Menteri sebelumnya,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan