‘Patuhi titah Sultan mulakan majlis dengan bacaan al-Quran’
Oleh Siti Fatimah Ishak
IPOH, 8 Mei – Timbalan Mufti Perak, Haji Zamri Hashim menyeru agar semua pihak mematuhi titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk memulakan semua acara yang dianjurkan dengan bacaan al-Quran.
Beliau berkata, titah Sultan Nazrin agar semua acara yang dianjurkan oleh pihak istana dan kerajaan negeri hendaklah dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat suci al-Quran yang disertakan dengan maksudnya sangat perlu untuk dipatuhi.
“Ini semua supaya aktiviti yang dilaksanakan tidak menyalahi panduan al-Quran.
“Ini juga adalah salah satu bukti komitmen DYMM Tuanku agar al-Quran menjadi rujukan dan panduan utama dalam urus tadbir negeri untuk menyantuni rakyat jelata.
“Baginda sering memperingatkan akauntabilti di hadapan Allah terhadap segala amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Menyantuni rakyat dengan akur kepada tanggungjawab kepada Allah dalam menjalankan syariatNya dan menjaga sunatullah adalah formula mujarab mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negeri ini,” katanya.
Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak Ke-35 telah diadakan pada 6 Mei lalu di Istana lskandariah, Kuala Kangsar.
Bertitah pada istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV itu, baginda menegaskan bahawa identiti Islam dan raja Melayu tidak boleh dipisahkan.
“Pada 28 Mei 2014 Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat menamakan beta sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” titah baginda.
Haji Zamri berkata, sebagai rakyat kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT kerana mengizinkan hambanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Mu’izuddin Shah ibni al Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah al Maghfur lah ditabalkan sebagai Sultan Perak Yang ke 35.
“Sebagai rakyat jelata kita mesti berkongsi simpati menginsafi besarnya tanggungjawab baginda untuk mengekalkan negeri ini sebagai negeri barakah.
“Tanggungjawab besar di dunia dan tanggungjawab di akhirat nanti. Agama telah menetapkan tanggungjawab sebegitu dan Perlembagaan Negara juga menetapkan begitu yakni Islam sebagai agama Persekutuan dan Sultan sebagai ketua agama negeri,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan