Pengajaran di sebalik kisah-kisah dalam Al-Quran

AL-QURAN
Bulan Ramadhan akan muncul tidak lama lagi. Bulan ini terkenal dengan bulan Al-Quran. Aktiviti membaca Al-Quran merupakan menu utama pada bulan ini. Namun kita sedia maklum bahawa tuntutan membaca Al-Quran bukanlah pada bulan Ramadhan sahaja. Ini dapat difahami daripada hadis Nabi SAW mengenai tuntutan membaca Al-Quran secara umum tanpa dikhususkan pada bulan Ramadhan sahaja.

Rasulullah saw telah bersabda kepada Abu Zar r.a:

“عَلَيْكَ بِتَلاوَةِ القُرْآنَ فَإِنَّهُ نُورٌ لَكَ فِي الأرْضِ، وَذُخْرٌ لك في السماء». رواه ابن حبان

Maksudnya: “Hendaklah kamu membaca Al-Quran kerana ia merupakan cahaya bagimu di bumi dan harta yang tersimpan bagimu di langit.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Oleh itu membaca Al-Quran merupakan tuntutan kepada setiap muslim sepanjang masa sama ada pada bulan Ramadhan ataupun bulan-bulan lain. Namun bulan Ramadhan sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dikaitkan dengan Al-Quran kerana pada bulan ini ia diturunkan.

Apabila seseorang membaca Al-Quran, dia akan menemui bermacam-macam jenis ayat. Antaranya ayat-ayat yang memaparkan kisah-kisah umat terdahulu dengan uslub yang cukup menarik seperti pengkisahan perjalanan hidup Nabi Yusuf AS, peniduran Ashabul Kahfi, ekpedisi Zul Qarnain dan banyak lagi.

Apabila Al-Quran memaparkan sesuatu kisah, sudah tentu ia mempunyai ibrah dan pengajarannya. Firman Allah swt:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (111)

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. Bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)

Syeikh Waliyullah ad-Dahlawi (meninggal 1176 Hijrah), seorang ulama terkenal dari benua India telah menerangkan tujuan penceritaan sesuatu kisah dalam Al-Quran seperti berikut:

“Tujuan pemaparan kisah-kisah dalam Al-Quran bukan sahaja untuk mengetahui kisah-kisah tersebut disudut penceritaannya sahaja, bahkan tujuan asasinya adalah untuk menggambarkan kepada minda pembaca mengenai kotornya syirik, maksiat dan hukuman Allah terhadapnya. Di samping itu ia juga bertujuan untuk mengingatkan kepada perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan, pertolongan dan kebersamaan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan seterusnya mengingatkan manusia kepada kematian dan perkara-perkara yang berlaku selepasnya.” (Al-Fauzul Kabir fi Usul at-Tafsir oleh Syeikh Waliyyullah Ad-Dahlawi).

Ustaz Ahmad Zainal Abidin, Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Ustaz Ahmad Zainal Abidin, Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Oleh itu apabila seorang muslim membaca Al-Quran dan bertemu dengan kisah-kisah tertentu, maka wajar baginya merenung dan mentadabbur ayat-ayat yang dibaca untuk melihat bentuk-bentuk pengajaran yang terdapat dalam kisah tersebut seperti yang diterangkan oleh Syeikh Waliyyullah di atas.

Dengan demikian barulah Al-Quran menjadi petunjuk dan pembimbing dalam kehidupan seorang muslim.

Semoga Allah SWT membimbing kita untuk memahami hakikat kehidupan melalui kisah-kisah qurani yang kita baca. Kita juga memohon agar Allah swt memasukkan kita di kalangan orang yang berjaya sepertimana golongan yang telah dikisahkan kejayaan mereka dalam Al-Quran.

Ustaz Ahmad bin Zainal Abidin
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS) merangkap

AJK ISMA Cawangan Melaka

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?