Perhimpunan bantah salib di Taman Medan bukan hasutan: Zahid
KUALA LUMPUR, Khamis – Menteri Dalam Negeri menyokong kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa demonstrasi membantah sebuah gereja memasang tanda salib di Taman Medan bukan satu hasutan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan awal polis terhadap insiden tersebut mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 448/511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan pencerobohan bangunan.
“Kenyataan yang dibuat oleh Khalid adalah berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat dan diklasifikasikan awal sebagai pencerobohan bangunan, bukan diklasifikasikan sebagai kesalahan mengikut Akta Hasutan.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk mengklasifikasikan setiap aduan yang diterima bagi tujuan siasatan atau sebaliknya,” katanya dalam jawapan bertulis soalan Ahli Parlimen DAP, Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat hari ini.
Kes itu kata Zahid, masih dalam siasatan dan pihak polis dalam proses mengumpul bukti sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Pihak polis dalam proses untuk melengkapkan siasatan serta mengumpul bukti-bukti sebelum kertas siasatan diedarkan kepada pihak pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut sama ada bersetuju dengan cadangan polis atau sebaliknya,” katanya.
Pada 19 April lalu, kira-kira 40 penduduk Islam mengadakan bantahan terhadap sebuah gereja baru yang terletak di sebuah rumah kedai di Taman Medan yang meletakkan tanda salib di bangunan gereja itu.
Kumpulan itu mendakwa, tanda salib di bangunan kejiranan majoriti Islam itu boleh mempengaruhi orang Islam mendekati agama Kristian.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan