Pertubuhan baru Kristian mahu dekati penganut agama lain
BANGI, Sabtu – Sebuah pertubuhan baru, Christians for Peace and Harmony Malaysia (CPHM) bakal dilancarkan 2 Jun ini di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Pelancaran itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusinya , Wong Kim Kong, berkata pemimpin dan wakil 230 gereja di Lembah Klang dijangka menghadirinya bersama-sama ketua pelbagai kumpulan agama di negara ini.
Idea penubuhan CPHM muncul selepas Wong didatangi beberapa pemimpin Kristian akar umbi yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen kaum dan agama di negara ini.
Wong yang merupakan bekas Ketua Setiausaha National Evangelical Christian Fellowship (NECF) berkata, sebagai sebuah NGO Kristian, terdapat beberapa keraguan untuk mendekati penganut agama lain bagi memupuk keamanan dan keharmonian.
“Dengan pengiktirafan perdana menteri ini, jurang ini boleh ditutup. Akan ada pengiktirafan terhadap kami untuk bekerjasama dengan bukan sahaja Kristian tetapi juga semua orang. Pengiktirafan Najib baik untuk kami bagi misi memupuk keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia,” katanya sebagaimana dilapor sebuah portal berita, hari ini.
Pada masa yang sama beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan CPHM sebagai alat kerajaan untuk memenangi kembali hati kalangan penganut Kristian.
“Najib tidak menggunakan kami. Kami mendekati beliau untuk melancarkan pertubuhan kami dan kerajaan tidak membiayai kami. Dan jika mereka menawarkan pembiayaan, kami tidak akan menerimanya.
“Selepas saya meninggalkan NECF, saya melatih dan memberi kaunseling beberapa pastor. Dan pada masa ini, Kristian menjadi mendapat perhatian dalam masyarakat dalam isu kalimah ‘Allah’ dan yang lain.
“Orang Kristian dilihat sebagai menentang kerajaan dan umat Islam. Oleh itu, pemimpin akar umbi datang kepada saya dan berkata sudah sampai masanya melakukan sesuatu untuk menenangkan keadaan,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan