Sistem kewangan Islam hidup subur di Britain
Susunan Siti Fatimah Ishak
LONDON, 4 Mei – Sistem kewangan berasaskan Islam semakin mendapat perhatian orang bukan Islam di United Kingdom (UK).
Ketua Pemasaran dan Jualan Runcit Bank Al Rayan, Tim Sinchlair, berpendapat faktor utama di sebalik pertumbuhan sistem kewangan Islam disebabkan orang bukan Islam semakin tertarik kepada etika yang dipraktikkan ketika berurusan.
“Para pelanggan bukan Islam tertarik dengan kewangan Islam berdasarkan etika kami menjalankan perniagaan dan pendekatan ketika perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.
Beliau berkata, sistem kewangan Islam ditawarkan kepada mereka yang bersetuju dengan prinsip-prinsip yang mendasari pengagihan saksama, perdagangan adil, perbelanjaan berhemah dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
Sistem ini diterima pakai oleh UK tiga dekad yang lalu. Ia juga meliputi produk rangkaian kewangan Islam dari akaun simpanan Islam, pelaburan dan polisi insurans untuk pinjaman pelajar yang mematuhi Syariah.
September lalu, kerajaan Britain meluluskan pinjaman berbentuk syariah kepada pelajar beragama Islam bagi membantu mereka menjelaskan yuran pendidikan.
Selain itu menurut Sinchlair, pertumbuhan kewangan Islam di UK, khususnya Al Rayan Bank telah mencatatkan keuntungan buat pertama kali pada tahun 2014, sekali gus menunjukkan peningkatan pendapatan sehingga 168 peratus.
“Kami menganggarkan bahawa 83 peratus daripada simpanan deposit pelanggan tetap dan 47 peratus daripada pelanggan yang menyertai bank pada tahun lepas adalah bukan Islam,” katanya.
Islam melarang umat Islam daripada menerima atau membayar faedah ke atas pinjaman.
Bank-bank Islam dan institusi kewangan tidak boleh menerima atau memberi dana untuk apa-apa yang melibatkan arak, perjudian, bahan lucah, tembakau, senjata atau daging babi.
“Sebagai sebuah bank Islam, kami tidak dibenarkan untuk mengenakan bayaran sewenang-wenangnya kepada pelanggan kami.
“Kebiasaannya caj yang dikenakan adalah lebih rendah daripada bayaran yang dibuat oleh bank-bank konvensional,” kata Sinclair.
Sistem perbankan Islam telah diamalkan di 50 negara di seluruh dunia, menjadikannya salah satu daripada sektor yang paling pesat berkembang dalam industri kewangan global. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan