Umat Islam kena sepakat sokong hudud

ustz-kamaruddin

Oleh Siti Nor Fatihah Zulkifli

BANGI, Isnin – Umat Islam perlu sepakat menyokong sebarang usaha yang mendaulatkan Islam termasuk cadangan memperkenalkan undang-undang hudud oleh kerajaan Kelantan.

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Kamaruddin Awang berkata, tanpa kesepakatan umat Islam, hukum hudud yang merupakan sebahagian daripada syariat tidak akan dapat dilaksanakan.

Katanya, berhukum dengan syariat Allah menggambarkan bebasnya negara ini daripada cengkaman penjajah.

“Menjadi hak masyarakat Islam untuk melaksanakan hudud yang merupakan syariat Allah walaupun terdapat cabaran-cabarannya.

“Tambahan pula, berhukum dengan syariat Allah menggambarkan kita adalah bebas daripada cengkaman penjajah yang telah pun menjajah kita melalui undang-undang yang telah diperkenalkan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk ‘Hudud: Penilaian Kaca Mata Syarak dalam program Diskusi Ilmiah anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Daerah Hulu Langat di Surau Al-Amirin Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.

Dr Kamaruddin yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menjelaskan sebagai seorang muslim, seluruh kehidupan perlu berlandaskan syariat termasuk dalam urusan jual beli, kekeluargaan, pendidikan dan sebagainya.

Beliau juga menjelaskan bahawa syariat Islam menekankan penutupan dan kemaafan terhadap pelaku jenayah syariah.

“Sebab itu dalam Islam hukuman takzir iaitu hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah SWT dan hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan hakim adalah lebih banyak berbanding hukuman hudud,” katanya.

Selain itu katanya, dalam konteks pembinaan masyarakat Islam, ia bermula dengan pembinaan akidah, ibadah dan akhlak.

“Perundangan semata-mata tidak cukup. Masyarakat perlu diajak kembali kepada ajaran Islam tulen dan meninggalkan perkara-perkara maksiat. Hudud adalah salah satu cara mencegah dan merawat kesalahan jenayah yang berlaku,” katanya lagi.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian