Wakil rakyat tak fasih cakap Melayu wajib ambil kursus: ISMA
Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin
BANGI, 5 Mei – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menggesa semua wakil rakyat, termasuk Ahli Parlimen yang tidak fasih berbahasa Melayu diwajibkan mengikuti kursus bahasa.
Dalam satu kenyataan kepada ISMAweb, Ustaz Abdullah Zaik berkata, pihaknya juga menyokong cadangan mewajibkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat mesti fasih berbahasa Melayu dan memiliki Kepujian dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Malang sekali ahli badan tertinggi negara tak tahu berbahasa Melayu dengan baik.
“Membiarkan perkara ini berlanjutan menunjukkan kerajaan tidak serius memartabatkan bahasa Melayu. Sudah sampai masa untuk membuat pembetulan,” katanya.
BERITA BERKAITAN:
1. Ucapan wakil rakyat DAP dalam bahasa Melayu jadi bahan jenaka
2. ‘Bulung-bulung pun telebang di angkasee…’
3. Sokong wakil rakyat mesti fasih bahasa Melayu
Sebelum ini, Dr Ridhuan Tee Abdullah mencadangkan kerajaan mewajibkan sesiapa yang mahu bertanding dalam pilihan raya mesti mempunyai kelulusan Kepujian subjek Bahasa Malaysia pada peringkat SPM.
Saranan beliau berikutan masih ada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen yang masih tidak fasih bercakap dalam bahasa Melayu.
Pada 12 April lalu, ISMAweb mendedahkan sebuah video berupa petikan ucapan wakil rakyat DAP tersebar di media sosial.
Video itu menunjukkan kesilapan pemimpin parti cauvinis DAP menggunakan beberapa perkataan dalam bahasa Melayu seperti perkataan ‘dekat’ untuk maksud dekad (tempoh 10 tahun), ‘terbulu-bulu’ untuk perkataan terburu-buru dan ‘seola-seola’ untuk perkataan ‘seolah-olah’.
Saranan Ustaz Ridhuan Tee mendapat sokongan daripada Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang berkata, setiap pemimpin di negara ini perlu boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.
“Jika ini dapat disyaratkan, ia sangat baik. Ia merupakan satu konsistensi yang boleh kita ikut demi tanah air yang kita cintai,” katanya.
Bagaimanapun, saranan itu dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan