Ekspedisi: Pengisian cuti sekolah bermanfaat untuk anak-anak ahli Isma
BANTING, Isnin – Program tiga hari dua malam sempena cuti sekolah, Ekspedisi SIRU 2015 telah dianjurkan oleh Projek Generasi Harapan (PGH), sebuah unit yang bertanggungjawab menyusun pelbagai aktiviti pembangunan khusus untuk anak-anak ahli Isma.
Program yang mensasarkan remaja berumur 12 hingga 14 tahun yang tinggal di zon tengah (Lembah Kelang) dan zon selatan ini telah diadakan pada 30 Mei hingga 1 Jun lalu, bertempat di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor.
Dengan tema ‘Warnai Hidupmu Dengan Ikatan Persaudaraan’, pelbagai aktiviti yang menarik telah dijalankan antaranya ‘Ice Breaking’, Sukan Rakyat, War Game, Memancing, Menyembelih Ayam, Masakan Rimba dan ‘Explorace’.
Program ini telah dibantu oleh fasilitator dan sukarelawan daripada ISMA Gombak, Hulu Langat, Klang, Seremban, Melaka dan Johor.
Objektif utama Ekspedisi SIRU 2015 ini ialah untuk melatih sikap berdikari, bertanggungjawab, mampu mengurus diri dan cemerlang.
Selain itu, program ini menguji ketahanan mental dan fizikal di usia muda dan memberi peluang kepada peserta PGH membentuk jaringan ukhuwwah sesama mereka.
Pengarah program, Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas berkata, beliau berharap peserta dapat menghayati objektif yang telah digariskan sepanjang program ini berlangsung.
Adik Ahmad Solah Bin Kamil Azmi dan Adik Arwa Binti Zamani telah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan kategori lelaki dan perempuan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan