Melahirkan anak di rumah, antara impian ibu dan realiti
Kehamilan dan melahirkan anak merupakan proses semulajadi yang diidamkan oleh ramai wanita yang berumahtangga. Kalau kita bertanya kepada semua pasangan, tentu mereka mahu supaya proses kelahiran anak berjalan dengan lancar, tanpa perlu menjalani suntikan air dan ubatan, tanpa menjalani pemeriksaan ibu dan anak yang kerap serta kelahiran yang tidak perlu dibantu oleh peralatan dan pembedahan.
Walau bagaimanapun, proses kehamilan dan kelahiran adalah sesuatu proses yang sangat sukar dijangka (“unpredictable”). Sangat sukar untuk mencari garis sempadan dan ramalan (“prediction”) di antara kelahiran berisiko rendah dan kelahiran berisiko tinggi.
Banyak komplikasi yang boleh berlaku ke atas ibu dan anak semasa proses kelahiran kerana ini merupakan detik paling kritikal seseorang ibu itu mengakhiri proses kehamilannya dengan berbagai-bagai perubahan fisiologi yang berlaku ke atasnya di sepanjang tempoh kehamilan.
Ianya juga tempoh kritikal kepada bayi yang dikandung kerana inilah sempadan masa di antara kehidupan di dalam rahim yang disokong oleh ibu kepada kehidupan luar yang penuh cabaran dan memerlukan daya usaha sendiri untuk terus hidup, berubah daripada hidup bergantungan (“dependency”) kepada hidup tanpa kebergantungan (“independency”).
DUA KATEGORI IBU HAMIL
Terdapat dua golongan ibu hamil iaitu ibu hamil berisiko tinggi (IHBT) dan ibu hamil berisiko rendah (IHBR).
Ibu berisiko tinggi adalah ibu-ibu yang lebih mudah mengalami komplikasi kehamilan dan kelahiran termasuk kematian. Ibu-ibu yang berisiko tinggi perlu melahirkan anak di hospital dan mendapat penjagaan rapi.
Ibu berisiko rendah pula adalah ibu-ibu yang tidak mempunyai masalah ketika hamil dan tidak mempunyai sejarah komplikasi kehamilan dan kelahiran yang lalu.
Di dalam banyak keadaan, agak senang untuk mengenalpasti IHBT tetapi sangat sukar untuk mengenalpasti IHBR (Tag Putih) kerana IHBR boleh bertukar menjadi IHBT pada bila-bila masa samada ketika hamil mahupun ketika proses kelahiran anak.
Terdapat banyak komplikasi kelahiran yang berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan ibu boleh meninggal di dalam masa beberapa minit jika rawatan awal lambat diberikan. Contohnya ibu boleh mengalami “Amniotic Fluid embolism (embolisma air ketuban)” , “Postpartum Haemorrhage (Pendarahan selepas bersalin)”, “Uterine Inversion (rahim turun terbalik)”, “Uterine Rupture (Rahim pecah)” dan “Pulmonary Embolism (Embolisma paru-paru)”.
Begitu juga bayi di dalam kandungan boleh mengalami komplikasi mendadak semasa proses kelahiran seperti “cord prolapse (tali pusat terjatuh)”, “shoulder dystocia (sangkut bahu)”, “fetal distress (lemas)” dan lain-lain.
Kesemua komplikasi ini boleh berlaku kepada mana-mana ibu yang hamil samada beliau dikategorikan sebagai IHBT mahupun IHBR, walaupun kadar kejadiannya mungkin lebih tinggi ke atas IHBT. Komplikasi ini juga boleh menyebabkan kecederaan serius dan kematian di dalam jangka masa yang singkat.
KEMATIAN IBU
Kadar kematian ibu adalah sangat penting kerana ini merupakan indikator ataupun petunjuk kepada tahap dan mutu perkhidmatan kesihatan secara keseluruhannya. Kita membandingkan mutu perkhidmatan kesihatan sesuatu negara dengan menggunakan kadar kematian ibu, negara yang mempunyai kadar kematian ibu yang tinggi akan dianggap negara yang mempunyai mutu perkhidmatan kesihatan yang masih rendah.
Kadar kematian ibu di negara kita sudah menurun dengan banyak pada hari ini jika dibandingkan pada tahun 1950 an (lihat rajah 1). Ini adalah hasil usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan mutu perkhidmatan khususnya meningkatkan peratusan ibu-ibu yang melahirkan anak di bawah pengendalian kakitangan dan bidan-bidan yang terlatih.
Rajah 2 menunjukkan dengan jelas bahawa kadar kematian ibu menurun dengan meningkatnya kelahiran selamat. Jadi salah satu faktor penting yang menurunkan kadar kematian ibu adalah meningkatnya ibu-ibu yang menjalani KELAHIRAN SELAMAT (SAFE DELIVERY).
KELAHIRAN SELAMAT (“SAFE DELIVERY”)
Bila menyebut istilah KELAHIRAN SELAMAT, maka ianya merujuk kepada kelahiran yang disambut ataupun dikendalikan oleh kakitangan yang terlatih dengan kaedah pengendalian kelahiran dengan kelengkapan dan rawatan perubatan moden.
Adakah ianya juga merujuk kepada tempat ibu-ibu ini dilahirkan? Jika ibu-ibu ini dikategorikan sebagai IHBT, maka tempat kelahiran memang menjadi faktor yang sangat penting, ibu-ibu ini tidak ada pilihan lain selain dari melahirkan anak di pusat-pusat kelahiran yang mempunyai kelengkapan peralatan dan kepakaran samada di hospital kerajaan, mahupun di hospital swasta. Manakala bagi IHBR, mereka boleh melahirkan anak di hospital ataupun melahirkan anak di pusat kelahiran berisiko rendah yang suatu masa dahulu dikenali sebagai “Alternative Birthing Center (ABC)” ataupun “Low Risk Birthing Center” (banyak LRBC ini terdapat di hospital sebagai perkhidmatan tambahan) dan jika memenuhi syarat-syarat tertentu,mereka boleh juga melahirkan anak di rumah.
Perkataan doula adalah merujuk kepada individu yang bukan di kalangan petugas perubatan yang berperanan sebagai peneman kepada ibu supaya ibu dapat ditenangkan dan mengurangkan tekanan semasa melahirkan anak. Doula bukanlah bidan terlatih dan tidak layak untuk menyambut kelahiran anak. Ini adalah penting kerana kehadiran doula bukan bererti kelahiran tersebut sudah dikira kelahiran yang selamat.
MELAHIRKAN ANAK DI RUMAH
Seperti yang saya sebutkan di atas, ibu-ibu hamil berisiko rendah (IHBR) boleh melahirkan anak di rumah jika memenuhi syarat-syarat tertentu. Melahirkan anak di rumah bukanlah sesuatu yang baru dan kajian menunjukkan bahawa ibu-ibu berisiko rendah yang melahirkan anak di rumah jika memenuhi syarat-syarat tertentu akan mendapat kepuasan yang sama dan mungkin lebih daripada melahirkan anak di hospital.
Ini disebabkan oleh faktor emosi dan persekitaran yang lebih biasa kepada mereka serta kurangnya intervensi sepertimana yang dilakukan oleh petugas perubatan di Hospital. Apakah syarat-syarat yang membolehkan ibu-ibu berisiko rendah ini melahirkan anak di rumah?
Syarat-syarat melahirkan anak di rumah (seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju):
1. Ibu-ibu ini sudah disahkan sebagai ibu-ibu yang berisiko rendah (IHBR) oleh petugas atau doktor yang terlatih.
2. Ibu-ibu ini sudah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai proses kelahiran dan komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku semasa melahirkan anak. Ibu-ibu ini sudah cukup mendapat penerangan mengenai apa yang dijangka dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.
3. Ibu-ibu ini mudah untuk dirujuk atau dibawa ke Pusat Rawatan ataupun Hospital terdekat samada dari segi jaraknya, dari segi kemudahan alat pengangkutan dan proses rujukan yang terancang.
4. Proses kelahiran ini hendaklah dikendalikan oleh petugas-petugas yang terlatih di dalam bidang kebidanan dengan kemampuan mengenalpasti komplikasi kelahiran dan membuat rujukan segera.
5. Terdapat garis panduan lengkap mengenai kaedah melahirkan anak di rumah dan proses-proses rujukan ke hospital jika berlakunya komplikasi kepada ibu dan anak.
Jika sudah dapat memenuhi lima pra-syarat di atas, maka kelahiran di rumah boleh menjadi satu kaedah kelahiran alternatif yang baik kepada ibu-ibu yang berisiko rendah. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa melalui kajian-kajian yang dilakukan di negara-negara maju, mereka mendapati bahawa hampir 40% daripada kes-kes ibu yang melahirkan anak di rumah, masih perlu dirujuk ke hospital disebabkan oleh komplikasi kelahiran yang berlaku tanpa diduga.
Jadi apabila memilih untuk melahirkan anak di rumah, ibu-ibu ini perlu sedar bahawa mereka mungkin termasuk di dalam 40% ibu-ibu yang masih perlu dirujuk ke hospital samada untuk melahirkan anak ataupun akibat komplikasi selepas kelahiran.
Walaupun negara-negara maju ini mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih canggih, kakitangan yang mencukupi serta sistem rujukan yang cekap, hanya 1-2% kelahiran berjaya dilaksanakan di rumah, itupun dengan syarat-syarat yang dinyatakan di atas.
Apabila kita membaca kejayaan negara-negara lain di dalam mengendalikan proses kelahiran di rumah, perlulah kita menilainya dengan rasional dan melihat kelebihan-kelebihan yang mereka ada berbanding dengan kita.
Kita tidak boleh mengambil bulat-bulat kejayaan mereka dan cuba mempraktikkannya di negara kita yang mempunyai sistem, sumber manusia, infrastruktur dan kelengkapan yang berbeza. Begitu juga dari aspek perbezaan dari segi kesedaran, tahap pendidikan dan budaya masyarakat.
Dengan sistem mereka yang lebih baik dan kesedaran masyarakat yang mencukupi pun, kita sering terdengar kes-kes kematian ibu yang berlaku di rumah, apatah lagi di negara kita ini. Kita jangan mudah terpengaruh dengan testimoni-testimoni yang dihebahkan oleh golongan-golongan yang ingin menunjukkan bahawa mereka berjaya melahirkan anak di rumah sehingga ada yang menyambut sendiri anak tanpa bantuan bidan terlatih.
Memperlihatkan kejayaan menyambut kelahiran sendiri di rumah tanpa bantuan adalah seumpama seorang ahli “stuntman/stuntwoman” yang sedang menunjuk-nunjuk kecekapannya membuat satu aksi “maut” yang boleh mencabut nyawanya bila-bila masa. Di dalam kes kelahiran sendiri, bukan sahaja diri sendiri terancam tetapi juga anak yang dilahirkan.
Sudah banyak kes-kes kemudharatan ibu dan anak serta tidak kurang kes kematian ibu/anak akibat melahirkan anak di rumah tanpa perkhidmatan bidan terlatih yang disembunyikan dan tidak diwar-warkan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kita di Malaysia perlu melihat samada sistem perkhidmatan yang ada pada hari ini mampu atau tidak untuk mengendalikan kelahiran di rumah samada dari aspek sumber manusianya mahupun infrastrukturnya, adakah ahli-ahli masyarakat kita terutama ibu-ibu sudah mendapat cukup maklumat mengenai kelahiran di rumah dan mempunyai akses yang mudah utk dibawa ke hospital jika berlaku komplikasi?
Adakah kakitangan-kakitangan sudah cukup terlatih dan cukup dari aspek kuantitinya utk menyediakan perkhidmatan ini?
Saya serahkan kepada pembaca-pembaca untuk menjawab persoalan ini. Jika di negara-negara maju pun isu kelahiran di rumah ini masih diperdebatkan, maka dengan situasi dan realiti sistem perkhidmatan kesihatan yang ada di Malaysia hari ini, kita jangan sekali-kali mengambil sikap tidak peduli ataupun mengambil ringan jika ada ibu-ibu atau golongan-golongan yang sewenang-wenangnya (tanpa perlu memenuhi syarat-syarat di atas) memperjuangkan kelahiran di rumah tanpa melihat isu ini dari perspektif yang lebih luas seperti yang dinyatakan di atas.
Apa yang sangat membimbangkan adalah di dalam keghairahan mempromosikan kelahiran di rumah, kita lupa syarat-syaratnya dan akhirnya kita boleh menjadi punca kepada penurunan peratusan kelahiran selamat dan meningkatnya kadar kematian ibu, dan negara kita menjadi salah sebuah negara yang berundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan.
Dato Dr Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah Darul Aman
Penafian: Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana individu, institusi dan pertubuhan.
Ulasan
Catat Ulasan