PBB sahkan keganasan Israel terhadap kanak-kanak Palestin
NEW YORK, Ahad – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bimbang terhadap jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza tahun lalu, masih belum memastikan sama ada mahu meletakkan Israel dalam senarai melanggar hak kanak-kanak.
Laporan sulit 22 muka surat itu, yang diperoleh Reuters pada Jumaat lalu, telah disediakan oleh agensi-agensi PBB yang berada di lapangan untuk diserahkan kepada wakil khas PBB bagi bahagian keganasan terhadap kanak-kanak dan konflik bersenjata.
Duta Khas PBB, Leila Zerrougui Algeria, berkata tentera Israel dan kumpulan Hamas turut disenaraikan dalam laporan itu yang akan dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, yang mempunyai kata putus terhadap senarai itu.
Lebih daripada 2,100 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak, terbunuh dalam konflik tahun lalu, manakala 67 tentera Israel dan enam orang awam terbunuh.
Laporan kerajaan mendakwa 540 kanak-kanak terbunuh, dan 371 daripada mereka berumur 12 tahun ke bawah.
Laporan PBB yang diserahkan kepada Zerrougui untuk membantu beliau menyediakan draf akhir, telah mengecam pelanggaran hak asasi kanak-kanak dalam perang Gaza.
Mereka menyatakan tentera Israel bersalah kerana menyebabkan kecederaan kanak-kanak Palestin termasuk serangan ke atas sekolah.
Bagaimanapun, wujud kelemahan untuk menyenaraikan Israel dalam jenayah itu ekoran masih belum mencapai kata sepakat.
Laporan menyebut adalah ‘tidak jelas bagaimana kriteria penyenaraian hendaklah digunakan’.
Diplomat berpendapat, draf akhir senarai itu boleh sampai kepada negara anggota PBB seawal minggu hadapan.
Sumber diplomatik PBB memberitahu Reuters bahawa Israel telah melobi Ki-moon supaya PBB tidak menyenaraikan negara mereka.
Kumpulan hak asasi manusia termasuk yang berpangkalan di New York, juga mengeluarkan kenyataan menggesa Ki-moon tidak tunduk kepada Israel.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan