Isma Kajang dan persatuan penduduk jalin kerjasama pacu dakwah bersama
Oleh: Yudi Kurniawan Budi
KAJANG, 9 Sept – Majlis Hi Tea Bersama ISMA Kajang yang berlangsung Sabtu lalu bukan sahaja memperkenalkan Isma tetapi berjaya membina dan merapatkan hubungan sesama barisan pimpinan Persatuan Penduduk dan Surau di Taman Impian Murni, Impian Makmur dan Pangsapuri Makmur di sini.
Program yang berlangsung di Impian Resort and Country Club itu dihadiri lebih 30 orang wakil daripada lapan Persatuan Penduduk dan Surau sekitar Saujana Impian.
Menurut Encik Khairul Nizam Hasnol selaku pengarah program, apa yang diharapkan daripada program ini ialah hubungan yang terbina membuahkan kerjasama ke arah membina masyarakat yang Islami dan diberkati.
“Setiap badan yang terlibat mempunyai kekuatan masing-masing, justeru jika kekuatan dan kepakaran ini dapat digembleng bersama pasti akan menghasilkan satu umat Islam yang kuat,” ujarnya lagi.
Ketua Biro Dakwah Isma Kajang, Encik Mohd Sahrularifin Ab Manan pula berharap dengan penganjuran Hi Tea ini dapat membuka jalinan kerjasama Isma dengan penduduk di Kajang.
“Semoga dengan penganjuran Hi Tea ini, kerjasama antara sesama jawatankuasa surau dan penduduk beserta dengan Isma akan lebih erat dalam memperkasakan dakwah Islam untuk Kajang.
Ujarnya lagi, sebagai sebuah badan Islam yang sederhana, Isma sentiasa yakin dan percaya setiap individu-individu muslim yang beriman akan menghasilkan kelompok keluarga yang beriman.
“Dari situ akan lahirlah masyarakat yang Islami yang seterusnya akan menegakkan sebuah negara Islam yang syumul,” tambahnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan