Isma menongkat perjuangan memartabat Islam, Melayu dan tanah air

azar2

Oleh RZ

SHAH ALAM, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengingatkan pihak-pihak yang tamak, rakus dan mengutamakan kepentingan peribadi bahawa agenda memartabatkan bangsa Melayu dan Islam akan sentiasa diteruskan.

Sehubungan itu, sebagai pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Isma bangkit untuk menongkat tiang-tiang perjuangan yang dibimbangi akan rebah, kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau berkata, bangsa Melayu telah melalui suatu sejarah perjuangan yang panjang dan berliku dalam membangunkan agama, bangsa dan tanah air.

“Bertitik-tolak daripada hakikat bahawa Islam telah menjadi identiti kepada bangsa yang menghuni wilayah berdaulat ini, alam Melayu yang memiliki usul kewujudan yang bersejarah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan sempena majlis malam amal ‘Malam Inspirasi Perjuangan (PEJUANG 2015)’ di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Isma dan Persatuan Belia Isla Nasional (PEMBINA) bagi memperingati jasa tokoh-tokoh pejuang Melayu bersempena sambutan bulan kemerdekaan selain mengangkat agenda perjuangan Melayu dan Islam yang diwarisi sejak berzaman.

Beliau berkata, hakikatnya bangsa Melayu memiliki jiwa yang gagah perkasa, pintar, bijaksana, berani serta gigih berjuang menentang pencerobohan dari Timur mahupun Barat.

Katanya, bangsa Melayu telah mencatat sejarah kepahlawanan yang hebat, melukis sebuah kisah perjuangan tiada tolok bandingnya, dengan darah dan air mata dan telah mempersembahkan wira-wira syuhada’ yang tidak gentar dengan darah dan kematian.

“Namun, penjajahan, globalisasi, pembaratan, serangan pemikiran dan proses normalisasi dengan kehidupan liberal sekular dan pluralisme agama telah menjadikan kita lupa identiti, lupa risalah dan juga lupa misi kita sebagai khaira ummah (umat terbaik), misi sebagai syuhada’ (saksi) ke atas manusia.

“Di celah-celah usaha mengembalikan martabat bangsa, wujud pihak-pihak yang tamak, rakus dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan bangsa.

“Hari ini kita menjadi terumbang-ambing tanpa risalah dan tanpa haluan kerana kita telah lupa asal- usul diri kita, menjadi bangsa tanpa identiti, menjadi umat yang mengikut langkah umat yang lain,” katanya.

Ustaz Abdullah berkata, perjuangan bangsa Melayu tidak bermula daripada titik kosong, sebaliknya ia telah diwarnai oleh pejuang-pejuang yang berani, bermaruah, ikhlas dan telus dalam mengisi ruang pembangunan kedaulatan dan maruah bangsa.

Katanya, akan sentiasa muncul sepanjang sejarah tokoh pejuang yang menjulang obor jihad, kemerdekaan, kelangsungan dan pembangunan sehingga ke zaman moden yang setiap satunya menyambung dan menyempurnakan dengan yang lain, saling bertaut dari generasi ke generasi.

“Kita adalah sebahagian daripada rantaian tersebut. Penerusan agenda ini memastikan kita menjadi bangsa yang merdeka dan bebas untuk melaksanakan cita-cita umat di tanah yang berdaulat ini,” katanya.

Sehubungan tu, Isma katanya, menurut jejak wira-wira bangsa yang menyinar setiap zaman, mencantum idea-idea, menyambung risalah perjuangan bangsa dari generasi ke generasi.

“Di waktu manusia hanyut tenggelam dengan pelbagai krisis, mengejar fatamorgana dan kepalsuan, Isma bangkit menggagahkan diri, mengutip inspirasi dan cita-cita yang berselerak, memperkukuh pasak-pasak yang kian longgar, menongkat tiang-tiang perjuangan yang dibimbangi akan rebah,” katanya.

Perjuangan itu, kata Ustaz Abdullah, adalah demi menempuh masa depan yang sempurna, mengangkat martabat agama dan bangsa, demi menunaikan sumpah generasi terdahulu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?