Kenyataan Mustapa helah alih fokus TPPA: Isma
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menyelar kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meminta rakyat supaya tidak takut dengan Amerika Syarikat (AS) apabila kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Katanya, kerajaan perlu berhenti daripada melayan rakyat seperti kanak-kanak yang diselubungi perasaan takut kerana kurang pengetahuan terhadap sesuatu perkara.
“Sedangkan rakyat Malaysia sudah cukup bijak untuk menilai hakikat di sebalik kerajaan imperialis Amerika yang ditunjangi syarikat multinasional Yahudi.
“Jadi perkataan takut digunakan Mustapa hanya dijadikan sebagai helah untuk mengalih fokus sebenar isu TPPA ini,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan bahawa rakyat negara ini tidak perlu takut dengan AS sekiranya kerajaan bertindak menandatangai TPPA, kerana kerajaan selama ini tidak pernah berasa tertekan dengan AS walaupun 20 peratus ekonomi dunia dipegang oleh negara itu.
Jadi dalam isu TPPA, AS tidak boleh melanggar syarat yang termaktub di dalam perjanjian ini demi kepentingan mereka.
Ustaz Hazizi menegaskan hakikat yang perlu diketahui ialah TPPA merupakan satu perjanjian pelbagai pihak yang memberi ruang sepenuhnya kepada kapitalisme.
“Ia bukan sahaja dalam menentukan untung rugi sesebuah negara, bahkan identiti dan jati diri negara terbabit.
“Selain itu, ia soal persaingan tidak seimbang yang membuka jalan kepada penguasaan golongan kapitalis yang akan menggadaikan maruah dan kedaulatan negara kita kelak,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan