Kes Altantuya: Tun M cabar kerajaan Najib saman Al-Jazeera
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mencabar kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman Al Jazeera jika dokumentari berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang disiarkan stesen TV itu tidak benar.
“Jika kerajaan fikir dokumentari itu tidak benar, mereka patut saman Al Jazeera kerana memfitnah.
“Al Jazeera ditonton jutaan orang di seluruh dunia. Kebanyakan orang percaya apa yang mereka lihat.
“Jika mengatakan ia tidak benar bagi meyakinkan setengah rakyat Malaysia, tetapi ia tidak akan meyakinkan orang asing,” katanya menerusi tulisan terbaru bertajuk ‘Al-Jazeera’ di blognya chedet.cc hari ini.
Sebelum ini Najib menegaskan bahawa dokumentari yang disiarkan Al Jazeera tentang pembunuhan warga Mongolia pada 2006 itu hanya merupakan konspirasi untuk menjatuhkannya yang mana ia dibangkitkan ketika berlakunya skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ini berikutan Al Jazeera dalam program mingguannya, 101 East menyiarkan laporan yang dihasilkan wartawan, Mary Ann Jolley berkaitan kes pembunuhan Altantuya di Shah Alam.
Dokumentari tersebut dimulakan dengan lakonan semula kisah latar belakang Altantuya sehinggalah wanita itu tiba di Malaysia dan dibunuh.
Ia turut memasukkan klip-klip sepanjang kes itu dibicarakan serta pengakuan penafian oleh Najib yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek utama ketika itu, Razak Baginda.
Bagaimanapun Najib menafikan perkara itu dan mendakwa tindakan pihak tertentu menimbulkan semula kes pembunuhan itu adalah sebahagian perancangan kuasa luar untuk menjatuhkannya, sama seperti strategi terhadap bekas presiden Iraq Saddam Hussein.
Bagaimanapun, tegas Tun Mahathir, apapun alasannya Najib mesti bertanggungjawab untuk membersihkan nama negara dengan memberikan bukti.
“Bukti perlu dinyatakan bagi menunjukkan pembunuhan, penutup kepada kes pembunuhan, penglibatan polis dan Razak Baginda adalah sama sekali tidak bersalah atas jenayah yang dahsyat ini.
“Badan Kehakiman termasuk Pejabat Peguam Negara juga perlu membersihkan nama mereka terutamanya yang berkaitan dengan pembebasan Razak Baginda dan rayuan oleh Peguam Negara yang hanya terhad kepada dua anggota polis.
“Ini berikutan mereka telah pun didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan itu,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan