UKM catat permohonan pilihan pertama tertinggi pelajar
BANGI, Selasa – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatatkan peneriman permohonan pilihan pertama tertinggi berbanding Universiti Awam lain, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU).
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata berdasarkan laporan itu, UKM menerima kira-kira 14,000 permohonan untuk pilihan pertama bagi kemasukan sesi akademik 2015/2016.
“Jadi kita bayangkan kalau saya total up (jumlahkan) pilihan pertama hingga pilihan keempat, kita menerima kira-kira 48,000 permohonan, ini sangat kompetitif… Kita amat gembira dan insyaAllah kita akan menyediakan yang terbaik kepada pelajar-pelajar kita,” katanya dipetik oleh portal rasmi UKM.
Pada tahun ini seramai 4,015 pelajar baru telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di UKM bagi sesi pengajian 2015/2016.
Peratusan pelajar lelaki yang diterima masuk adalah sebanyak 29.41 peratus manakala 70.59 peratus bagi pelajar wanita.
“Pelajar-pelajar itu ditawarkan untuk mengikuti pengajian bagi 69 program pengajian pra siswazah di 12 fakulti iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Farmasi, Fakulti Pergigian, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Fakulti Undang-Undang.
“Antara fakulti lain ialah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat,” katanya.
Tambah beliau lagi, UKM kini berada dalam trend yang meningkat bagi pengambilan pelajar baru.
“Pada satu ketika dahulu kalau tak silap di tahun 2005/2006, kita pernah menerima hampir 5,800 pelajar pra siswazah. Tetapi selepas beberapa tahun , matlamat dan penekanan kita sebagai sebuah universiti penyelidikan telah menyebabkan kita melihat semula kepada apa komposisi yang lebih baik.
“Jadi sekarang ini dari segi komposisi kita mensasarkan 50-50 pelajar pra siswazah dan siswazah. Berbanding dengan tahun-tahun yang lalu, pengambilan pelajar pra siswazah berada dalam trend yang meningkat. Tahun lepas kira-kira 3,900 pengambilan dan tahun sebelum itu lagi rendah iaitu kira-kira 3,500 pelajar,” jelasnya.
Bagaimanapun, UKM telah menyediakan persiapan rapi bagi mengendalikan proses kemasukan pelajar pada tahun ini.
Difahamkan, tahun ini merupakan kali pertama sejak penubuhan UKM, di mana penambahbaikan dalam proses pendaftaran telah dibuat.
Jika sebelum ini semua pelajar mendaftar di kolej-kolej kediaman, tetapi kali ini kita membuat pendaftaran di fakulti-fakulti dan kita menjemput ibu, bapa dan pelajar-pelajar untuk datang ke fakulti.
“Melalui ini mereka akan mengenali dengan lebih mendalam tentang fakulti, bidang-bidang pengajian dan juga tawaran yang ada di fakulti masing-masing serta mengenali fakulti dalam konteks sejarah penubuhan, kesohoran kesarjanaan dan konteks bagaimana pembelajaran di UKM,” katanya.
Pada tahun ini juga, pelajar tidak perlu beratur panjang kerana semua proses pendaftaran telah disingkatkan.
Sementara itu, beliau juga berkata UKM telah membuat penstrukturan dan pengisian program yang sangat rapi seperti membuat perjumpaan dengan pensyarah-pensyarah yang akan mengajar pelajar-pelajar tahun satu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan