Keputusan Mahkamah Rayuan tutup peluang status agama Islam individu dipertikai

nasrudin-pas
BANGI, Khamis – Keputusan Mahkamah Rayuan semalam, yang memihak kepada perayu berhubung status penukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam, bakal menjadi rujukan penting perundangan pada masa depan.

Menyambut baik keputusan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata keputusan itu dapat mengelak timbul lagi pertikaian terhadap status agama seseorang sama ada membabitkan kanak-kanak atau orang dewasa.

Katanya, peluang daripada kes dan keputusan Mahkamah Rayuan itu juga harus dimanfaatkan oleh kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah sekali gus membuka ruang kepada meminda Akta 355 yang dituntut oleh PAS.

“Semoga Islam dan seluruh syariatnya dapat dilaksanakan dan semakin teguh di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan sijil penukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam, adalah sah.

Semalam, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan bahawa sijil penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mereka yang memeluk Islam, Muhd Riduan Abdullah, adalah tidak sah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Balia Yusof Wahi ketika membenarkan rayuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan lima yang lain, turut memutuskan bahawa penukaran agama membabitkan umat Islam adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhd Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya – Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana, 6, – selepas beliau menukarkan agama mereka daripada Hindu kepada Islam.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh kemudian mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam.

Memetik laporan Harakah hari ini, Nasruddin berterima kasih di atas penghormatan dan penegasan yang diberikan panel Hakim Mahkamah Rayuan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian