Mufti tegur G25, kenyataan boleh bawa kepada murtad

Mufti 1

KUALA LUMPUR, Selasa – Kumpulan bekas penjawat awam atau G25 disaran untuk bertaubat berikutan kenyataan mereka boleh membawa kepada murtad apabila mahu undang-undang syariah termasuk hukuman terhadap perbuatan khalwat dimansuhkan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata hasrat kumpulan itu untuk memansuhkan beberapa undang-undang syariah sama seperti menentang hukum Islam dan juga Allah.

“Saya minta kumpulan ini bertaubatlah dan buat kerja amal yang lebih baik daripada kita mahu rosakkan agama, pecah belahkan umat Islam.

“Lebih baik mereka buat persatuan menggunakan kebijaksanaan untuk membantu perkara-perkara yang membangunkan umat. Janganlah kita terbawa-bawa dengan budaya Barat,” katanya.

Sambil menyifatkan gerakan ini kelihatan seperti kumpulan orang-orang yang putus asa Dr Harussani berkata, apa yang mereka lakukan ini merupakan ancaman kepada umat Islam.

“Pada saya gerakan ini kelihatan seperti kumpulan orang-orang yang putus asa, mungkin kerana mereka tidak diberi kesempatan atau peluang selepas pencen, sebab itu cari jalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan G25 yang menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.

Jurucakapnya, Datuk Noor Farida Ariffin berkata Ahad lepas, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.

Kumpulan itu juga mahu sebuah jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Mengulas perkara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan kumpulan ini terlalu terpengaruh dengan pemikiran liberal Barat dan bernostalgiakan zaman penjajahan lalu yang meminggirkan agama serta budaya tempatan.

“Sepatutnya mereka memanfaatkan kesempatan yang ada setelah bersara untuk mendalami pengetahuan agama dan beribadat demi persediaan serta bekalan di akhirat kelak.

“Tidak sepatutnya masa yang ada ini dibazirkan dengan menimbulkan isu-isu yang aneh, janggal dan mengelirukan masyarakat. Jangan meracuni fikiran masyarakat dengan fahaman sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, hakikatnya peraturan yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia dan undang-undang syariah yang diguna pakai adalah untuk memelihara kesejahteraan umat Islam di negara ini daripada perkara-perkara merosakkan termasuk perbuatan berkhalwat.

“Sekiranya kehidupan umat Islam di negara ini tidak lagi berlandaskan nilai-nilai moral dan prinsip berakhlak murni, keutuhan negara akan tergugat, sekali gus menjadikan kehidupan masyarakat menjadi kucar-kacir,” katanya.

Pendapat yang sama diutarakan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dengan berkata, prinsip Perlembagaan tidak mengatasi al-Quran kerana Kalam Allah itu mengatasi segala-galanya.

Mengandaikan kumpulan G25 bercakap tanpa pengetahuan tentang jenayah Islam yang ditetapkan oleh al-Quran katanya, telah termaktub dalam Perlembagaan yang turut menetapkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Jadi bagaimana pula khalwat itu dikatakan perkara peribadi dan tidak boleh dijadikan sebagai jenayah?

“Mereka perlu meneliti dan mendalami jenayah Islam dan bila tidak tahu, mulalah bercakap ikut hukum akal, walhal (hukuman) memang sudah termaktub dalam hukum syarak,” katanya.

Manakala Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad pula berkata tindakan G25 mengangkat perjuangan hak privasi individu menggambarkan seolah-olah mereka membelakangkan hak yang lebih agung iaitu hak Tuhan.

“Undang-undang khalwat ini dibuat sebagai mekanisme membasmi kemungkaran dalam masyarakat. Tindakan dalam mencegah kemungkaran ini sememangnya adalah peraturan Islam.

“Kita juga ada hak masyarakat. Bagaimana hendak asingkan hak individu dengan hak masyarakat sedangkan kita semua hidup dalam satu rangkaian tanggungjawab kepada satu sama lain?” soalnya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian