PAS cadang Najib buang menteri, timbalan menteri ‘mengarut’

tibrahim

BANGI, Selasa – PAS mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuang menteri dan timbalan menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi kepada rakyat supaya perbelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan.

Cadangan itu diletakkan paling atas dalam senarai 16 perkara yang disyorkan kepada kerajaan dan Najib bagi mengatasi kemelut ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan membebaskan rakyat daripada terpaksa menanggung beban kerajaan yang dikatakan boros.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beban yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini sudah mencapai tahap mencekik leher.

Katanya, laporan pemberhentian pekerja oleh pelbagai sektor membabitkan ribuan kakitangan, serta kenaikan kos hidup kini memuramkan suasana sosio politik negara.

“Ombak kemelesetan ekonomi sudah dirasai meskipun kerajaan yang suka bermain dengan nombor-nombor statistik dengan rakyat enggan mengakui secara terbuka.

“Tapi sekurang-kurangnya ada seorang timbalan menteri yang secara tidak langsung mengakui keadaan kian meruncing sehingga beliau sanggup mencadangkan agar rakyat Malaysia bekerja #2kerja untuk menampung kehidupan.

“Meskipun cadangan itu menghiris perasaan rakyat, tapi ia adalah satu pengakuan realiti semasa oleh seorang Ahli Parlimen UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, bagi PAS, sebelum mencadangkan langkah yang patut diambil oleh rakyat bagi mengatasi kemelut ekonomi, eloklah kerajaan yang dipimpin UMNO memandang cermin terlebih dahulu dan mengambil pelbagai tindakan segera untuk mengurangkan ‘kos sara hidup’ kerajaan.

Rakyat, katanya, perlu dibebaskan daripada terus menampung kerajaan yang ‘high maintenance’ kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang boros, membazir dan tidak ekonomik.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan 16 perkara yang boleh dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah berkaitan.

1. Mengurangkan saiz Kabinet agar ia sesuai dengan nisbah negara. Menteri dan timbalan menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar perbelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan;

2. Menyemak kembali peruntukan gila Jabatan Perdana Menteri yang sangat besar dengan mengurangkan kakitangan kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri dan menyalurkan peruntukan itu ke sektor pendidikan;

3. Jabatan Perdana Menteri juga harus menghentikan kewujudan agensi baru dan syarikat milik kerajaan yang baru dan misteri yang mempunyai fungsi bertindih dengan agensi kerajaan sedia ada untuk disalurkan dana dan kerajaan juga perlu menamatkan jawatan duta khas bertaraf menteri kerana ini jawatan bertindih;

4. Potongan gaji sebanyak 20 peratus bagi menteri dan timbalan menteri agar mereka memahami keperitan untuk mencari pendapatan lain dengan bekerja #2kerja;

5. Menghapuskan elaun tol dan minyak menteri dan timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan agar mereka dapat merasai keperitan rakyat;

6. Mengurangkan pelantikan konsultan luar untuk projek kerajaan dan memasukkan klausa agar tuntutan ganti rugi dapat dibuat sekiranya cadangan yang dibuat konsultan luar tidak mendatangkan hasil;

7. Tidak menuntut bajet tambahan untuk 2016. Segala keperluan tambahan perlu ditampung menggunakan kaedah penjimatan dan mengurangkan pembaziran;

8. Mengurangkan kadar GST secara berperingkat dan cukai pendapatan bagi mereka berpendapatan sederhana untuk meninggikan pendapatan boleh guna seisi rumah. Kerajaan tidak boleh sesekali menaikkan GST untuk menaikkan pendapatan;

9. Menghapuskan GST ke atas keperluan pendidikan seperti baji, kasut, beg sekolah, buku latihan dan teks bahkan perlu dipertimbangkan subsidi ke atas bahan pendidikan sehingga peringkat universiti. Jangan biarkan GST menyusahkan perjalanan pendidikan negara dan rakyat marhen;

10. Meletakkan setiap transaksi dan kontrak yang melibatkan Kerajaan Pusat secara online;

11. Mengurangkan perbelanjaan dalam sektor pertahanan;

12. Melakukan rundingan semula semua perjanjian yang berat sebelah yang memberi impak kepada perbelanjaan rakyat seperti tol dan pengangkutan awam;

13. Mengurangkan cukai untuk penerbangan domestik bagi rakyat Malaysia;

14. Menggunakan penerbangan komersial untuk semua lawatan rasmi kerajaan. Kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam, termasuk menteri ialah kelas ekonomi. Mengurangkan lawatan rasmi kerajaan dan jumlah ahli yang menyertai rombongan rasmi;

15. Mengurangkan jamuan makan dan minum di semua peringkat kerajaan serta menghapuskan pemberian hadiah dan mengurangkan iklan, penggunaan bunting dan banner untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan; dan

16. Menangguhkan program PLKN sehingga keadaan ekonomi negara pulih.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian