Arab Saudi perjelas sebab ulama Syiah dihukum pancung

syiahh

DAMMAM, Isnin – Arab Saudi hari ini memberitahu bahawa ulama Syiah yang dijatuhi hukuman pancung, Nimr Al- Nimr (gambar), telah disabit melakukan lapan kesalahan dan menyampaikan ucapan berapi-api berbentuk permusuhan sejak 2002 yang menyebabkan kecederaan dan kematian beberapa anggota polis.

Al-Nimr adalah antara 47 pesalah yang terbabit dalam keganasan, termasuk anggota Al-Qaeda yang dipancung, Sabtu lalu.

Tindakan Arab Saudi itu menimbulkan kecaman daripada Iran, hingga Kedutaan Arab Saudi di Teheran dan konsulatnya di bandar Mashhad, di utara Iran diceroboh serta diserang dengan batu dan bom molotov.

Berikutan itu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubair mengumumkan hubungan diplomatik negaranya dengan Iran telah diputuskan dan duta Iran di negara itu diberi masa 48 jam untuk keluar dari Arab Saudi.

Ucapan Al-Nimr telah membangkitkan penentangan puak Syiah sehingga tercetusnya tunjuk perasaan antikerajaan di Qatif pada 2011.

Al-Nimr dilaporkan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Imam Hussain di Al-Awamiyah di timur Arab Saudi sejak 2002. Dia kemudian mula bercakap hal-hal politik dalam khutbahnya.

Dia juga menuduh pemimpin dan pasukan keselamatan Arab Saudi telah kufur dan mengajak orang ramai bangkit menentang kerajaan.

Pada Mac 2009, dia mengkritik pihak berkuasa Arab Saudi dan mencadangkan pemisahan kawasan untuk membentuk sebuah negara Syiah baru di timur negara itu.

Ketika bantahan dilakukan puak Syiah di Bahrain, Al-Nimr mendesak tentera Negara-Negara Teluk diundurkan dari Bahrain, mengkritik pemerintah negara itu dan menuntut supaya tahanan politik dibebaskan.

Pada Oktober 2011, dia menuduh media Arab Saudi dan pegawai kerajaan menutup apa yang didakwa sebagai ‘penindasan yang zalim’ oleh pasukan keselamatan dan menggambarkan mereka sebagai tentera perusuh. Selain itu, dia juga menghina pemimpin dan pegawai yang dilantik oleh kerajaan.

Al-Nimr juga meminta pembentukan sebuah gerakan pembangkang agama bagi menghadapi tindakan terhadap Syiah. Selain itu, dia juga menyeru orang awam bangkit melawan dengan menuduh kerajaan Arab Saudi membunuh orang yang tidak bersalah.

Dia pernah ditangkap beberapa kali, dan terbaru pada 8 Julai 2012, selepas dia ditembak dikaki oleh anggota polis dalam satu kejadian tembak menembak.

Pada 15 Oktober 2014, Mahkamah Jenayah Khas Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas Al-Nimr selepas sabit kesalahan menyokong gerakan pengganas dalam menghadapi pasukan keselamatan, yang menyebabkan kematian dan kecederaan anggota keselamatan dan orang awam.

Dia dianggap sebagai penghasut paling berbahaya di timur Arab Saudi.

Al-Nimr dilahirkan pada 1959 di bandar Al-Awamiyah di wilayah Qatif dan mula belajar di situ. Dia kemudian pergi ke Iran di mana dia menyertai program pembelajaran Hawza kira-kira 10 tahun sebelum meneruskan perjalanan ke Syria. – Agensi

logoTolakTPPA

klik untuk bantah

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian