Bauksit: SPRM tahan tiga individu lagi

Logo-SPRMBANGI, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lagi individu, termasuk seorang wanita kerana disyaki menjadi orang tengah bagi menjual borang pemindahan mineral secara haram.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki, berkata mereka yang ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kuantan berusia antara 44 dan 50 tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, mereka dipercayai menjadi orang tengah dalam penjualan borang 13D (Dokumen Pemindahan Mineral) secara haram kepada pelombong bauksit haram.

“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“SPRM masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu,” katanya.

Dengan penangkapan itu menjadikan mereka yang ditahan berkaitan bauksit ialah tujuh individu, termasuk pegawai kerajaan.

Khamis lalu, seorang pegawai kanan dan tiga kakitangan bahagian penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri ditahan selepas dipercayai menerima rasuah daripada pengusaha lombong bauksit haram.

Mereka ditahan dalam operasi khas selepas disyaki menerima suapan menerusi penjualan borang 13D pada harga antara RM100 hingga RM200 kepada pengusaha lombong haram.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian