Kastam sasar 100,000 pendaftaran GST tahun ini

gst okt
PUTRAJAYA, Khamis – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan 100,000 pendaftaran individu, syarikat atau perniagaan baharu bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun ini, kata Ketua Pengarah Datuk Seri Khazali Ahmad.

“Kami perlu pergi kepada kumpulan ini daripada menunggu mereka untuk mendaftar. Sejak 2014, kami memberikan masa yang lebih daripada cukup untuk mendaftar. Mereka perlu memenuhi keperluan undang-undang. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.

Setakat ini terdapat 400,519 yang berdaftar dengan GST.

Mengikut Seksyen 20 Akta Cukai dan Perkhidmatan (Akta CBP) 2014, individu, syarikat atau perniagaan perlu didaftarkan secara mandatori iaitu mencapai pembekalan bercukai melebihi RM500,000.

Bagaimanapun, perniagaan yang mempunyai perolehan bercukai RM500,000 ke bawah, walaupun tidak dikehendaki berdaftar, mereka boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela.

Khazali berkata Ops Jejak GST 2016 akan bermula 17 hingga 22 Januari ini bagi mengesan individu, syarikat atau perniagaan yang layak berdaftar GST tetapi masih gagal berbuat demikian.

Seramai 1,500 pegawai dari Bahagian GST di seluruh negara digerakkan dalam Ops Jejak GST 2016 itu, katanya.

“Kita nasihatkan mana-mana individu dan syarikat yang mencapai pembekalan bercukai secara mandatori agar terus berdaftar dengan segera untuk mengelak kesulitan pada masa akan datang,” katanya, sambil menambah, mereka yang gagal berdaftar akan berdepan kompaun RM15,000.

Sepanjang tempoh operasi, semua pegawai GST beruniform penuh akan mengeluarkan kompaun kepada individu dan syarikat yang melanggar undang-undang dan semua pembayaran perlu dilakukan di pejabat-pejabat kastam.

Katanya Ops Jejak GST 2016 juga akan mengesan individu yang berdaftar GST tetapi gagal mengeluarkan invois cukai atau invois yang tidak mengandungi butir-butir yang ditetapkan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 33 Akta CBP 2014.

Beliau berkata ia menyebabkan nilai GST tidak dapat dimasukkan ke dalam akaun GST.

Kompaun akan dikeluarkan serta merta terhadap mereka yang gagal mematuhi peruntukan tersebut mulai 15 Januari ini, katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian