KLS2016 – Penghakisan jati diri dan pengurusan masa antara cabaran alam kampus

Rusydi

Oleh: Mohd Shafiq Azmi

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Cabaran yang lebih besar di universiti ialah bagaimana pelajar-pelajar boleh membawa diri di tempat asing.

Diantara cabaran luaran ialah penghakisan jati diri para belia menerusi pengaruh fahaman-fahaman dan ideologi-ideologi bertentangan dengan Islam. Fahaman dan ideologi songsang seperti liberalisme, pluralisme, sosialisme dan syiah banyak disebarkan melalui media menerusi website, portal-portal berita, video dan poster.

Menurut Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor, Saudara Muhammad Rusydi Muhammad Razif, cabaran dalaman juga wujud terutamanya dalam menguruskan kemudahan kelajuan internet yang tinggi dan mudah diakses.

“Pelajar banyak menghabiskan masa dengan muat turun movie. Selain itu penggunaan komputer riba yang tidak terkawal menyebabkan masa terbuang dengan permainan komputer. Ada juga yang banyak menghabiskan masa dengan cinta monyet yang belum tentu menjadi pasangannya kelak.

“Sepatutnya masa yang ada digunakan untuk belajar dan meningkatkan kemahiran menerusi aktivisme-aktivisme yang ada. Apabila sudah tamat alam kampus dan bekerja, peluang untuk beraktivisme sudah terhad kerana kekangan kerjaya dan keluarga,” ujar beliau dalam sesi forum ‘Survival Kampus’ Karnival Lepasan Sekolah (KLS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.

Kata tokoh muda itu lagi, pelajar yang baru menamatkan persekolahan pada tahun 2015 seharusnya membuat persediaan-persediaan sebelum memasuki alam kampus yang penuh dengan cabaran.

“Lakukan persediaan dari aspek minda, jiwa dan akhlak. Tingkatkan jati diri dengan banyakkan membaca bahan-bahan ilmiah dan keagamaan seperti buku-buku sirah dan 20 soalan paling lazim tentang Islam oleh Dr Zakir Naik.

“Cuba bangun sendiri solat Subuh di rumah kerana ketika di kampus, semuanya adalah bergantung kepada diri sendiri. Tidak ada ibu bapa yang akan kejutkan anda solat dan pensyarah juga tidak pantau solat Subuh anda setiap hari,” jelasnya.

KLS16jb4

KLS16jb5

KLS merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) di seluruh negara bertujuan mendedahkan pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM dengan persediaan memasuki alam kampus seperti tips temuduga dan biasiswa, motivasi hala tuju selepas sekolah, pameran kerjaya, forum ‘Survival Kampus’ dan pelbagai lagi aktiviti yang sarat dengan info dan maklumat yang berkaitan.

Program ini bermula pada 9 Januari 2016 dan akan berakhir pada 30 Januari 2016. Maklumat lanjut mengenai KLS boleh didapati di laman facebook ‘Xpresi Remaja KRIM’.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian