Kuasa politik kelam jika minoriti di peti undi

PRU13 yang lepas menyaksikan peratusan keluar mengundi yang tertinggi dalam sejarah PRU di Malaysia, iaitu sebanyak 84.8 peratus atau hampir 11.3 juta orang bagi kerusi Dewan Rakyat (Parlimen). Namun jumlah mereka yang keluar mengundi ini tidak menggambarkan keseluruhan rakyat Malaysia kerana ia hanya sebahagian daripada jumlah pengundi yang berdaftar.

Berdasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, syarat-syarat untuk mendaftar sebagai pemilih atau pengundi adalah seperti berikut:

  •   Seorang warganegara Malaysia
  •    Telah mencapai umur 21 tahun
  •    Bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan
  •    Tidak hilang kelayakan di sisi undang-undang

Statistik terbaru (5 Januari 2016) daripada SPR menunjukkan daripada 17.7 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih, masih terdapat hampir 4.2 juta yang belum berdaftar. 59% daripada jumlah tersebut adalah daripada kalangan Melayu dan Bumiputera. Jika perangkaan ini kekal hingga PRU14, ini bermakna hampir 2.4 juta orang Melayu dan Bumiputera yang tidak akan keluar mengundi ketika pilihanraya nanti. Jumlah ini menunjukkan bukan sahaja anak muda Melayu, malahan ramai lagi yang tidak mengganggap perkara ini sebagai satu tanggungjawab penting sebagai rakyat Malaysia.

Jumlah ini bukanlah jumlah yang kecil dan hakikatnya boleh menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti. Begitu banyak kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) parti tertentu yang hanya menang tipis ketika PRU13 di kawasan-kawasan berkenaan. Maka jumlah yang keluar mengundi ini amat penting untuk menentukan corak dan halatuju masa depan sesebuah negeri malahan negara. Ketika parti DAP agresif merancakkan kempen-kempen pendaftaran mengundi khususnya di kalangan kaum Cina, bangsa Melayu seakan-akan tidak mengendahkan peranan politik yang harus mereka mainkan. Sebaliknya, kita hanya berminat dengan hiburan di kaca televisyen dan internet dan tidak mahu terbabit secara langsung sebagai kuasa penentu politik di negara.

Jumlah bangsa Melayu dan bumiputera yang ramai di negara ini sudah tidak bermakna andaikata apabila tiba pilihanraya, kita langsung tidak keluar mengundi. Di Kuala Lumpur, bangsa Melayu yang layak mengundi adalah sebanyak 50 peratus, namun mereka yang mendaftarkan diri sebagai pengundi hanyalah sebanyak 37.5 peratus sahaja. Umat Islam yang asalnya majoriti dan kini sudah berpecah dengan kewujudan pelbagai parti politik, telah secara tidak langsung bertukar menjadi suara minoriti apabila tiba pilihanraya nanti. Manakala secara tidak sedar, lanskap demografi kuasa politik semakin berubah hanya kerana umat Islam tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi.

Sedangkan di laman sosial, kitalah yang sering mengkritik dan menegur tindakan beberapa pemimpin-pemimpin parti politik. Kita jugalah jaguh dalam memberi pelbagai “pandangan pakar” untuk mengatasi segala isu yang melanda negara daripada GST hinggalah harga minyak dunia. Kita jugalah yang sering meluahkan perasaan kecewa melihat perbalahan politik yang tidak henti-henti di medan sosial antara Barisan Nasional, PAS dan Pakatan Harapan. Kita jugalah yang meluahkan perasaan jemu melihat “troll” politik dan kenyataan-kenyataan yang sering diputarbelitkan oleh setiap pihak lawan semata-mata mahu meraih undi popular.

Namun, apabila tiba PRU14 nanti kita hanya berpeluk tubuh. Itu bukanlah penyelesaian kepada kemelut politik yang sedang melanda. Kita tidak boleh lagi berdiam diri di rumah ketika hari undian sambil berbaring di atas katil dan melihat status-status Instagram rakan-rakan yang keluar mengundi. Jangan nanti kita hanya menang sorak di Facebook, tetapi kampung yang sebenar pula tergadai.

Kita seharusnya mengambil peranan yang lebih aktif untuk menghidupkan amalan demokrasi yang penting ini. Kesedaran melalui jumlah “likes” di Facebook atau perkongsian di Twitter bukanlah kayu ukur yang sebenar kerana kita tidak menterjemahkan suara kita dengan kuasa undi yang sepatutnya. Tindakan kita seharusnya lebih realistik dan strategik untuk memastikan kepentingan umat ini terus terbela.

Andaikata anda layak tetapi belum mendaftar mengundi, daftarlah sekarang. Andaikata anda mengenali rakan atau sanak saudara yang belum mendaftar, terangkan kepada mereka kepentingan mendaftar sebagai seorang pengundi. Pilihlah calon yang benar-benar berwibawa yang bertakwa kepada Allah, yang mampu membela kedudukan agama Islam dan masa depan bangsa Melayu, kepentingan rakyat Malaysia, bersikap amanah dan jujur ketika berkhidmat untuk rakyat. Tolaklah calon yang sombong, takbur, pecah amanah, sering menyalahgunakan kuasa dan mudah dibeli dengan duit dan harta. Lihatlah prestasi calon tersebut dan janganlah mengundi seseorang calon semata-mata kerana kita taksub kepada sesuatu parti atau ikatan politik.

Kita harus menjadi warga yang bijak ketika mengundi di pilihanraya. Peranan pengundi Melayu dan bumiputera perlu diperkasakan sebelum tiba PRU 14 nanti. Kesedaran tentang kepentingan memilih calon-calon yang dirasakan mampu mempertahankan hak umat Islam, Melayu dan bumiputera perlu diperkuatkan di kalangan mereka yang masih belum mendaftar diri sebagai pengundi. Pada waktu yang sama, pengundi boleh memainkan peranan dan mengambil peluang untuk mendesak para calon agar isu-isu seperti pencemaran bauksit, Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), campur tangan parti cauvinis terhadap institusi agama Islam, kos hidup yang semakin meningkat dan pelbagai lagi isu dapat ditangani dengan segera.

Mungkin kerajaan juga harus mengkaji dan menggubal peruntukan atau undang-undang untuk seorang warganegara Malaysia yang telah mencecah umur 21 tahun didaftarkan secara automatik dan layak untuk mengundi. Cara sebegini akan meningkatkan jumlah pengundi berdaftar yng akan menentukan nasib negara melalui pilihanraya. Malahan, kerajaan patut mengkaji untuk menurunkan had umur untuk mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun untuk menjadi pemilih.  Begitu banyak negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Denmark, Norway, Filipina, Kemboja dan Thailand yang telah meletakkan umur minima pengundi di usia yang lebih muda seperti 18 tahun. Malah, Indonesia meletakkan 17 tahun sebagai had minima umur pengundi. Membenarkan umur yang lebih muda untuk mengundi dapat melahirkan generasi belia yang gemar mengambil tahu tentang isu semasa terutamanya isu politik di negara kita. Malah, ini membolehkan para belia untuk belajar dari kesilapan yang lalu dan bertindak dengan lebih matang pada pilihanraya yang akan datang.

Marilah kita bersama menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan segeralah mendaftar untuk menjamin hak sebagai seorang pemilih dan mengelakkan diri daripada tidak layak mengundi pada pilihanraya yang terdekat nanti. Pada waktu yang sama, serulah ahli keluarga dan rakan-rakan untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih dan menjadi warga yang bijak dalam memainkan peranan politik ketika pilihanraya.

Abu Ameen
Aktivis ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian