Liga Arab kutuk serangan ke atas diplomat Arab Saudi di Iran

Bangunan kedutaan Arab Saudi di Tehran diserang oleh rakyat Iran.

KAHERAH, Isnin – Menteri Luar Liga Arab dalam mesyuarat tergempar semalam, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerang pejabat diplomatik Arab Saudi di Iran dan menuduh negara Syiah itu gagal melindungi diplomat asing.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu Liga Arab turut mengecam tindakan Pengawal Revolusi Iran yang dilaporkan membantu kumpulan militan di Bahrain.

Anggota Liga Arab mengundi menyokong kecaman itu, kecuali Lubnan yang mengambil sikap berkecuali disebabkan kumpulan Hizbullah di negara itu disokong oleh Iran.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Liga Arab bersetuju menubuhkan jawatankuasa untuk terus berbincang mengenai krisis berkenaan serta memberi apa-apa cadangan dan tindakan pada masa depan.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir, berkata Iran telah campur tangan dalam urusan dalaman negaranya dan cuba mencetuskan masalah keselamatan di rantau itu.

Mengulas serangan ke atas pejabat kedutaan dan konsulat Arab Saudi di Iran baru-baru ini, beliau berkata, serangan itu jelas mencerminkan pendekatan polisi Iran terhadap negara-negara Arab iaitu dengan mencampuri urusan sesebuah negara, menghasut supaya berlaku pergeseran kaum dan mengancam keselamatan dan kestabilan.

Katanya, tindakan Arab Saudi menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Iran adalah langkah pertama yang akan disusuli dengan tindakan lain jika Iran enggan mengubah polisinya.

Al-Jubeir berkata, Arab Saudi juga akan berbincang dengan sekutunya di rantau Arab serta negara lain bagi mengambil tindakan lanjut ke atas Iran.

Riyadh memutuskan hubungan diplomatik dengan Teheran selepas negara itu mengecam dan campur tangan urusan dalaman Arab Saudi yang menghukum pancung ulama Syiah, Nimr al-Nimr pada Sabtu, selain Kedutaan Arab Saudi di Teheran diserang teruk dan digeledah pada malam hari hukuman dilaksanakan.

Bangunan konsulat Arab Saudi yang terletak di bandar Mashhad, di utara Iran juga terbakar setelah diserang dengan balingan batu dan bom molotov.

Sementara itu, Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan, berkata kejadian itu jelas menunjukkan Iran gagal memberi perlindungan kepada diplomat Arab Saudi.

Beliau berkata, serangan ke atas kedutaan dan pejabat konsulat Arab Saudi berlaku di depan mata pihak berkuasa Iran.

Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby, pula menuduh Teheran melakukan tindakan provokatif dan meminta semua negara Arab untuk menyatakan pendirian dalam menghadapi tindak tanduk Iran itu. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian