Najib setuju pinda undang-undang elak tukar agama: Subramaniam
KLANG, Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan secara prinsipnya bersetuju mengkaji kemungkinan meminda undang-undang sedia ada bagi mengelakkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral, kata Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Beliau yang juga Presiden MIC berkata, Perdana Menteri mahu isu ini diselesaikan kerana Malaysia merupakan sebuah negara majmuk.
“Saya membawa isu itu sekali lagi pada mesyuarat Kabinet dan Perdana Menteri telah meminta tiga menteri berbincang dengan Peguam Negara mengenai perkara ini.
“Beliau juga secara prinsipnya bersetuju untuk melihat pindaan kepada undang-undang sedia ada untuk mengelakkan penukaran unilateral kepada kanak-kanak,” katanya mengulas mengenai isu penukaran agama membabitkan tiga anak guru Tadika, M Indira Gandhi.
Pada 30 Disember lepas, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan penukaran agama ketiga-tiga orang anak wanita itu oleh bekas suaminya, seorang mualaf.
Mahkamah memutuskan bahawa perkara mengenai penukaran agama, dan sama ada seseorang itu menganuti agama Islam, adalah terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan