Pantai Kasih berunsur lucah, tak sesuai untuk pelajar

novel2-600x360

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Isnin – Ibu bapa meluahkan kebimbangan mereka berhubung isu novel komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Empat bertajuk Pantai Kasih yang didakwa mempunyai unsur-unsur lucah.

Kebanyakan ibu bapa yang ditemuramah Ismaweb hari ini menyifatkan perkara itu tidak seharusnya wujud dalam bahan ilmiah untuk pelajar sekolah.

Azlina Omar, 44, berkata beliau kesal apabila unsur-unsur negatif wujud dalam bahan ilmiah pelajar yang jelas tiada nilai murni.

“Nilai-nilai sebegitu tidak perlu diajar disekolah. Apa yang perlu diterapkan pada anak-anak ialah nilai keislaman.

“Saya tidak setuju jika silibus novel ini diajar disekolah, sebab tiada faedah,” katanya.

Tegas mengenai isu ini, Ghazali Abd Latif pula berkata guru-guru dan pihak kementerian perlu bertanggungjawab mengkaji semula isi kandungan novel itu.

Ghazali berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga perlu memainkan peranan yang sama bertanggungjawab menapis semula kandungan novel itu sebelum ia diterbitkan sebagai silibus di sekolah.

Nurafizah Abd Wahab berkata, guru perlu maklumkan dan membuat aduan berhubung isu kandungan novel itu yang akan memberi pengaruh buruk kepada pelajar.

“Guru-guru jangan berdiam saja, buat aduan dan maklumkan sebab unsur-unsur itu akan mengotorkan pemikiran pelajar.

“Pihak penerbit juga perlu bertanggungjawab atas terbitan buku itu,” katanya.

Bagaimanapun, Hipni Mohamad Mokhtar berkata, novel itu pastinya sudah dinilai dan ditapis oleh Kementerian Pendidikan dan panel penilai DBP sebelum ianya diterbitkan.

“Pada saya ada baik dan buruknya. Perkara begini akan terdedah juga kepada pelajar dan remaja walaupun tidak diajar.

“Jadi, sebelum ia diviralkan maka perlulah kaji secara menyeluruh dan pelbagai sudut,” katanya.

Sementara itu, Nor Hidayah, 28, menyarankan supaya ibu bapa membaca keseluruhan buku tersebut sebelum menunding jari kepada pihak tertentu.

“Saya rasa kita perlu baca dulu keseluruhan novel itu. Jangan terus nilai dan salahkan penerbit serta kementerian,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan mengarahkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat novel itu.

“Saya akan arahkan pegawai meneliti perkara ini berdasarkan beberapa aspek termasuk tema, unsur bahasa dan jalan cerita.

“Sebuah jawatankuasa dibentuk untuk meneliti dakwaan ini dan saya akan respons semula dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian