Pemilihan Jurusan dan Kerjaya Perlu Realistik

Maimunah

Oleh: Siti Nurliyana Saifollah

JOHOR BAHRU, 20 Januari – Jurusan dan bidang kerjaya yang dipilih oleh pelajar lepasan sekolah perlulah realistik berdasarkan kemampuan, minat dan personaliti diri.

Demikian nasihat yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Ikatan Perguruan Muslim Malaysia (i-Guru) Cawangan Johor, Sharifah Maimunah Syed Zaid dalam program Karnival Lepasan Sekolah anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Johor.

Beliau yang merupakan kaunselor berdaftar dibawah Lembaga Kaunselor Malaysia berkata, pelajar perlu memilih sikap untuk mengukur baju di badan sendiri agar cita-cita mereka untuk meraih segulung ijazah dan berbakti kepada masyarakat dengan kerjaya yang baik tidak akan terkubur begitu sahaja.

“Sistem pemilihan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kini menggunakan sistem meritokrasi dimana pelajar akan dinilai berdasarkan merit  iaitu 90 peratus untuk akademik manakala 10 peratus adalah untuk kokurikulum.

“Oleh itu, pelajar perlu memastikan jurusan yang dipilih untuk memasuki IPTA adalah memenuhi syarat khusus dan syarat umum yang diperlukan bagi kursus di setiap universiti supaya pelajar mendapat tempat dalam jurusan di universiti yang dipilih,” jelas beliau.

KLS JB 2016

Sharifah turut mengingatkan peserta karnival bahawa persaingan untuk memasuki IPTA kini adalah amat sengit. Justeru, pendedahan dan informasi awal tentang pemilihan kursus di IPTA  amat penting untuk memandu peserta membuat pemilihan yang bijak dan terbaik.

“Seramai 11,289 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya mendapat semua ‘A’ bagi semua mata pelajaran yang diambil pada tahun 2014.

“Calon SPM 2015 adalah seramai 440,682 orang calon yang kesemuanya akan bersaing dan merebut tempat di IPTA. Maka buatlah pemilihan yang terbaik berdasarkan kelayakan dan kecenderungan anda,” ulas Sharifah mengakhiri slot perkongsiannya mengenai Halatuju Lepasan Sekolah.

Karnival Lepasan Sekolah peringkat negeri Johor yang diadakan di Fakulti Kejuruteraan Biomedikal Universiti Teknologi Malaysia itu telah berjaya mengumpulkan seramai kira-kira 150 orang peserta dari seluruh negeri Johor.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian