Permaisuri Jordan balas sindiran Charlie Hebdo
MANAMA, Selasa – Permaisuri Jordan, Permaisuri Rania Al Abdullah membalas sindiran majalah kontroversi Charlie Hebdo mengenai kanak-kanak malang Syria, Aylan Kurdi.
Kanak-kanak itu telah dijadikan objek kepada lukisan kartun dalam majalah itu yang menggambarkan bahawa Aylan akan membesar menjadi seorang pesalah seksual.
Lukisan kartun itu mendapat kecaman oleh beberapa tokoh aktivis dan media yang jelas menunjukkan ia sebagai perbuatan melampau.
Bagaimanapun, Rania mengambil pendekatan yang berbeza apabila beliau mengubah lukisan kartun itu dan ayat yang terdapat padanya.
Rania menerusi akaun Twitter miliknya berkata, Aylan mungkin akan bergelar doktor, guru atau seorang bapa yang penyayang sekiranya dia masih hidup.
Beliau memuatnaik imej ikonik Aylan sebagai kanak-kanak yang gembira bermain, belajar dan menjadi seorang doktor.
Di bahagian atas lukisan itu adalah soalan yang sama seperti apa yang terdapat dalam Charli Hebdo, ‘apa yang Aylan lakukan apabila dia besar?’
Kanak-kanak malang itu maut akibat lemas ketika dia dan keluarganya dari Syria dalam perjalanan ke Greece untuk melarikan diri.
Jasadnya kemudian dijumpai terdampar di sebuah pantai di Turki.
Imej menyayat hati Aylan itu kemudian menjadi viral dan menggemparkan seluruh dunia, sekali gus membangkitkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa pelarian Syria.- Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan