Restoran char kuey teow didenda RM9,000 kerana tak kutip GST

mali's corner
KUALA LUMPUR, Selasa – Sebuah syarikat pengendali restoran char kuey teow di ibu kota hari ini didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana tidak mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada pelanggan tahun lepas.

Hakim Shamsudin Abdullah juga memerintahkan Mali’s Corner Sdn Bhd membayar 95 sen GST kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana tidak mengutip cukai itu dalam satu resit.

Syarikat itu membayar denda tersebut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat itu yang diwakili pengarahnya, Jamali Saat mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Syarikat itu sebagai syarikat berdaftar di bawah GST didakwa tidak mengeluarkan invois cukai di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 ketika membuat pembekalan cukai pada 7 Okt 2015, 12.54 tengah hari, di Mali’s Corner Sdn Bhd, No 9-1, Block C, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di sini.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 33(2)(a) akta itu yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Zambri Mohd Isa yang mewakili syarikat itu memohon hukuman ringan kerana ini kesalahan pertama syarikat itu manakala Pegawai Pendakwa Kastam, Norhalelly Haimid memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada orang ramai. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian