Senarai daftar pemilih dipamer mulai esok hingga 2 Februari

spr

PUTRAJAYA, Isnin – Rang Daftar Pemilih Tambahan (Rang DPT) Suku Tahun Keempat 2015, yang menyenaraikan 103,508 permohonan pemilih baru dan pertukaran alamat pusat mengundi, kini dipamer di 964 lokasi seluruh negara bermula esok sehingga 2 Februari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, permohonan pendaftaran itu membabitkan 82,146 pendaftaran pemilih baru dan 21,362 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih sedia ada yang berdaftar dengan SPR.

Beliau berkata, pemohon yang mendapati namanya tidak tersenarai dalam DPT boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B, manakala pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas nama mana-mana orang di dalam DPT Suku Tahun 4/2015 boleh dibuat dengan mengisi Borang C.

Katanya, seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang.

“Borang B dan Borang C hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang DPT itu dipamerkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, bantahan dikemukakan hendaklah berasas dan bukan dengan niat ingin menafikan hak warganegara untuk mendaftar sebagai pemilih atau memperlekeh peranan SPR dalam urusan pendaftaran pemilih.

Ketika tempoh pameran, katanya, SPR juga mempamer nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih, atas sebab pemohon tidak bermastatutin di dalam bahagian pilihan raya berkenaan, pemohon bukan warganegara Malaysia dan pemohon telah meninggal dunia.

Sehubungan dengan itu, Abdul Ghani menyeru kepada semua pemohon yang telah mendaftar dalam tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember tahun lepas supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka.

Semakan boleh dibuat melalui laman web SPR di laman web SPR di www.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-8892 7000, katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian