Tips menghadapi musim kering El Nino: Pembina UniKL RCMP

el nino 2EL NINO

PERASAN tak sejak kebelakangan ni rasa panas sangat; tidur berpeluh-peluh, lap badan selepas mandi berpeluh juga; badan dan tekak rasa kering, minum satu jag pun tak puas; mesti kebanyakan rasa sebegini sejak kebelakangan ini. Kalau buka kipas pun anginnya rasa panas, alamatnya bukalah pendingin hawa untuk menyejukkan diri yang seperti berada di dalam ketuhar.

Untuk pengetahuan semua, fenomena yang tiba-tiba muncul ini dipanggil El Nino, bunyinya sedap tetapi situasinya tidak begitu digemari oleh semua. Perkataan El Nino berasal dari Sepanyol yang bermaksud ‘anak lelaki’ dan fenomena ini mulanya berlaku di Pantai Barat Peru, Amerika Selatan di mana arus laut yang kebiasaanya sejuk digantikan dengan arus yang panas yang berlaku setiap dua ke tujuh tahun.

Keadaan ini terjadi di Malaysia apabila angin yang biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di Amerika Selatan menuju ke kawasan Australia dan negara-negara Asia termasuklah Malaysia; dan ini menyebabkan cuaca di Malaysia menjadi lebih panas dan kering.

Persoalannya, apakah kesan fenomena El Nino ini telah kepada kita? Antaranya termasuklah potensi jangkitan penyakit meningkat, tadahan air semakin kering dan kenaikan masalah kesihatan seperti dehidrasi, demam dan sebagainya. Jadi, bagaimanakah kita hendak mengharungi cabaran ini? Saya ada beberapa tips untuk sama-sama kita amalkan:

Tips 1 : Minum air secukupnya.

Amalkan rutin minum air masak paling kurang 8 gelas sehari untuk elakkan kesan dehidrasi daripada fenomena ini; dan jika boleh, anda perlu minum air sekerap mungkin iaitu setiap 15 minit. Anda boleh juga membawa botol air ke mana sahaja supaya anda boleh kerap meminum air agar anda sentiasa berada dalam keadaan terhidrat, kerana cuaca sangat panas dan kering akan membuatkan anda sentiasa rasa dahaga. Jadi minumlah air sebanyak mungkin.

Tips 2 : Pakai losyen badan untuk elakkan menggaru

Anda mungkin akan rasa gatal di beberapa tempat pada badan anda seperti di lengan, ketiak, tengkuk dan sebagainya kerana cuaca terlalu panas dan kulit anda dalam keadaan kering; menggaru tidak akan menyelesaikan masalah anda malah akan membawa lebih banyak keburukan seperti luka dan jangkitan kuman.  Cara yang terbaik adalah untuk memakai losyen badan yang akan mengurangkan rasa gatal dan elakkan anda menggaru; jika terlalu gatal, anda boleh usap perlahan-lahan.

Tips 3 : Pakai pakaian yang terang dan longgar

Jangan pakai pakaian berwarna hitam kerana warna hitam menarik haba dan pakailah pakaian yang terang yang berupaya untuk memantulkan haba. Pakailah juga pakaian yang lebih longgar dan tidak terlalu tebal untuk memudahkan pengudaraan.

Tips 4 : Kurangkan aktiviti luar dan lebihkan berehat

Cuaca panas membuatkan anda senang mengalami dehidrasi; oleh itu, dinasihatkan untuk banyakkan rehat di rumah dan kurangkan aktiviti di luar sama ada kerja atau riadah. Kita juga boleh jadikan fenomena ini sebagai satu peluang untuk lebihkan amalan ibadah sunnah kita di rumah seperti berzikir, membaca Al-Quran dan lain-lain lagi. Jika anda ingin keluar berjalan pada waktu panas terik, pakailah topi atau payung.

Tip 5 : Sentiasa bersabar dan doa kepada Allah SWT

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi .(2) Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta (3).” Surah Al-Ankabuut: Ayat 2-3.

 Kita mestilah yakin bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya kerana fenomena ini juga dianggap sebagai ujian oleh Allah kepada hamba-Nya kerana ujian Allah SWT kepada kita sentiasa berubah dalam pelbagai bentuk dan rupa dan ujian itu pasti bagi orang yang beriman.

Kita juga tidak harus mengeluh dan sentiasa berdoa dan berharap kepada-Nya kerana Allah tidak akan menguji kita melainkan kita mampu menghadapinya seperti yang Allah SWT berfirman :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya.” Surah Al – Baqarah : Ayat 286.

Di sini kita dapat lihat betapa sayangnya Allah kepada kita kerana ujian bagi orang yang beriman adalah satu kepastian dan Allah berjanji kepada kita bahawa ujian yang diberi oleh-Nya adalah berdasarkan kemampuan hamba-hamba-Nya dan disebabkan itulah kita harus sentiasa bersabar dan cabar diri untuk mengharungi ujian fenomena El Nino ini dengan tabah dan kuat.

Kita juga perlu sentiasa muhasabah diri kita dan fikir semula kerana setiap perkara yang berlaku ada asbabnya dan sentiasa tanam dalam diri kita untuk berubah menjadi lebih baik.

Itulah tips yang dapat saya kongsikan dan saya berharap agar tips ini berguna untuk semua. Semoga dalam fenomena El Nino ini kita dapat muhasabah diri kita balik dan sentiasa refleksi diri semula agar kita dapat menjadi hamba-Nya yang lebih baik dalam apa jua keadaan.

Sama-samalah kita menjaga kesihatan diri kita, keluarga dan masyarakat di sekeliling agar dapat menjadi hamba-Nya yang lebih produktif dan semoga dalam fenomena El Nino ini, ibadah kita kepada-Nya akan lebih bertambah dan doa kepada-Nya juga akan berterusan agar dapat mendekatkan lagi diri kepada-Nya.

Muhammad Haznil Abdul Rahman
Aktivis PEMBINA RCMP
Pelajar Perubatan UniKL RCMP

EDITOR: Pihak editorial Ismaweb.net mengalu-alukan sebarang penulisan berbentuk pendapat, rencana dan sebagainya untuk disiarkan. Hantarkan tulisan anda melalui emel: editor.ismaweb@gmail.com.

NEA_El Nino_FA_Web

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian