Tun M keluar UMNO kerana protes terhadap Najib

Prof Shamsul Adabi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Selasa – Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berpendapat tindakan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan keluar daripada parti hanya sekadar memprotes kepimpinan nombor satu negara.

Mengulas pengumuman Tun Dr Mahathir semalam, beliau berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baru dilakukan oleh Tun M sebaliknya ia sebagai sejarah yang berulang ketika pentadbiran UMNO dipegang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Ketika zaman Pak Lah dulu, Tun M keluar untuk pastikan peralihan kuasa berlaku. Ini bermaksud tindakan Tun sekadar ingin memprotes dan tidak bersetuju dengan kepimpinan nombor satu (Najib),” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Beliau ketika ditanya kesan terhadap UMNO berikutan tindakan Tun M itu berkata, ia mungkin akan menjejaskan sedikit sahaja bagi tempoh tahun ini.

“UMNO mempunyai kedudukan yang baik dan stabil sebenarnya. Apa yang berlaku hari ini hanya mewujudkan kumpulan protes kepada UMNO, tetapi tidak menggugat UMNO secara menyeluruh.

“Dia hanya beri kesan sedikit saja, dalam jangka masa setahun. Untuk tahun berikut dia akan berlaku perkara lain pula.

Katanya, krisis yang dihadapi UMNO sekarang ini secara tidak langsung telah membuka ruang politik untuk pembangkang terutama kepada beberapa pemimpin UMNO yang telah disingkirkan daripada parti.

“Setiap pemimpin yang disisihkan oleh UMNO ini berpengaruh di tempat masing-masing contohnya seperti Datuk Seri Shafie Apdal. Pengaruh beliau akan beri kesan kepada UMNO Sabah,” katanya.

Semalam, Tun Dr Mahathir mengumumkan beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar daripada UMNO berikutan parti itu kini menjadi ‘parti Najib’.

“Pada saya, ia bukan lagi parti UMNO, tetapi parti Najib,” kata Mahathir dalam satu sidang medianya di Yayasan Kepimpinan, Putrajaya.

Mengulas faktor itu, Dr Samsu Adabi bagaimanapun berkata, tanggapan UMNO sebagai ‘parti Najib’ adalah salah dan tidak betul sebaliknya, persepsi itu timbul berikutan Najib sebagai nombor satu dalam parti tersebut yang dilihat mengawal keseluruhan UMNO.

“Sejarah UMNO sendiri menunjukkan jatuh bangun seorang menteri berjawatan nombor dua yang hilang kedudukannya itu. Itu perkara biasa dalam sejarah UMNO.

“Pada saya, apa yang berlaku kepada Mukhriz, Muhyiddin dan Shafie adalah satu ujian kepada mereka. Adakah mereka boleh terus setia dengan UMNO walaupun tiada kedudukan berjawatan dalam parti.

“Saya juga tidak fikir Mukhriz akan keluar UMNO. Ini hanyalah mesej daripada Tun M sahaja sebagaimana zaman Pak Lah dulu. Tidak ada pun pengikut yang ramai keluar UMNO,” katanya.

Katanya, beliau percaya kedudukan Najib juga tidak terjamin dan masih belum pasti bila masa peralihan kuasa itu akan berlaku.

Malah katanya, sukar untuk diramal kedudukan UMNO pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana tempohnya masih jauh iaitu dua tahun lagi.

“Jadi, apa yg berlaku sekarang belum boleh kita jadikan kayu ukur untuk melihat PRU akan datang mengenai sejauh mana kedudukan UMNO ketika itu.

“Mungkin dalam tempoh setahun ini kita hanya akan dapat lihat apa kesan daripada pergerakan Tun M ini. Apakah Najib masih kekal memimpin UMNO lagi,” katanya.

Justeru, katanya, perkara sebegini masih belum boleh dinilaikan dan diramal dengan apa yang akan berlaku pada PRU14 akan datang.

“Sedangkan Pakatan Harapan juga sedang mengalami perpecahan. Jadi, kita tidak dapat jangka parti dominan yang kuat dalam negara sekarang,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?