Anak Najib antara individu didedah dokumen bocor Panama Papers
BANGI, Isnin – Anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah antara individu yang dinamakan dalam dokumen-dokumen bocor yang mendedahkan urus niaga sulit melibatkan lebih 140 tokoh politik termasuk 12 pemimpin dunia.
Menurut rekod kajian yang dilakukan oleh Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan (ICIJ), Mohd Nazifuddin Mohd Najib dilaporkan terlibat dalam dua syarikat pesisir luar.
Syarikat anak kedua Najib ini dilaporkan berdaftar oleh Mossack Fonseca di Kepulauan British Virgin.
Penglibatan Nazifuddin didedahkan dalam ‘Panama Papers’ sebagai pembocoran terbesar maklumat dalaman melibatkan urus niaga sulit di seluruh negara.
Selain Nazifuddin, sekutu-sekutu Presiden Rusia, Vladimir Putin turut tersenarai di dalam Panama Papers berhubung penyembunyian wang sehingga AS$2 bilion menerusi bank dan syarikat ‘bayangan’.
Bagaimanapun, nama Putin tidak disenaraikan dalam dokumen-dokumen tersebut.
Menurut ICIJ, sekurang-kurangnya 33 individu dan syarikat yang disenaraikan dalam dokumen-dokumen itu sudah disenaraihitamkan oleh pemerintah Amerika Syarikat akibat salah laku, antaranya Korea Utara, Iran, serta kumpulan Lubnan, Hezbollah.
Antara individu lain yang dinamakan dalam pembocoran itu termasuk Presiden Ukraine, Raja Arab Saudi dan Perdana Menteri Pakistan.
Maklumat yang dibocorkan itu, bermula dari 1975 hingga akhir tahun lalu, terkandung apa yang disifatkan oleh ICIJ sebagai ‘gambaran dunia urus niaga sulit pesisir luar yang tidak pernah dilihat sebelum ini’.
Ia melibatkan e-mel, rekod kewangan dan butiran pasport yang disiasat oleh lebih 100 kumpulan media yang mendedahkan beberapa individu berkuasa di dunia terbabit dalam aktiviti sulit syarikat pesisir luar.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan