Angin perubahan di Ba’kelalan
BA’ KELALAN, Khamis – Kekecewaan rakyat akibat kekurangan pembangunan dan perubahan semakin terasa dan ketara di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’ Kelalan.
Mungkin sudah merasai keadaan, penyandang Baru Bian, yang juga ketua PKR Sarawak, kini menagih sokongan dengan menyentuh sentimen agama penganut Kristian evangelical yang merupakan 90 peratus daripada jumlah 7,375 pengundi.
Sambil berketrampilan sebagai seorang yang ‘adil, bersih dan patuh kepada ajaran agama, peguam berusia 58 tahun itu sentiasa memberitahu masyarakat Lun Bawang mengenai usahanya menyelesaikan isu tanah hak adat Bumiputera (NCR).
Tetapi masyarakat seolah-olah tidak kagum. Apa sahaja niat baik dan bagaimanapun gigih usahanya, beliau gagal menunaikan janjinya, menurut seorang penduduk tempatan yang dahagakan pembangunan di kawasan mereka.
Pada 2011, kontroversi rampasan kitab Injil menggunakan kalimah Allah membantu Bian mengalahkan anak saudaranya berusia 43 tahun, Willie Liau daripada Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 473 undi.
Pada kali ini, tiada kontroversi dan Liau, juga seorang peguam, menekankan kepada masyarakat di situ bahawa mereka perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan program pembangunan di kawasan itu.
Calon SPDP itu melaporkan bahawa beliau menerima respons yang sangat positif daripada semua sesi dialog bersama masyarakat itu, sekali gus menunjukkan peralihan sokongan dalam pertembungan ulangan dengan bapa saudaranya itu.
Pandangan ketua Kampung Long Muda, Yudan Meru adalah sama dengan anak buahnya iaitu mereka bimbangan dengan kegagalan pembangkang menyediakan kemudahan seperti jalan raya yang baik, bekalan elektrik dan bekalan air bersih.
“Baru (Bian) orangnya bagus tetapi berdiri di plaform yang salah, dia pun kita punya saudara…sekiranya (dia) menang sama juga cerita, orang menderita begitu…sahaja sampai bila?
“Willie (Liau) agak kuat, saya harap dia dapat kemenangan yang besar di Ba’Kelalan,” kata ketua kampung berusia 60 tahun itu.
Beliau yakin wakil rakyat BN boleh mendapatkan sokongan kerajaan untuk menyediakan kemudahan jalan raya, membangunkan industri agropelancongan di samping menggalakkan penamanan buah-buahan beriklim sederhana seperti epal, strawberi dan anggur serta sayuran organik.
Penghulu Sigar Sultan, 68, yang bertanggungjawab terhadap 13 kampung di sini, berkata: “Memang hasrat kami untuk kembali ke BN. Kami mahu pembangunan yang telah diabaikan selama lima tahun ini.”
Penternak lembu dan pesawah, Marcus Labo, 41, berkata kegagalan pembangkang menunaikan janji-janji pilihan raya telah menyebabkan kesusahan kepada rakyat yang kini mahu menyertai secara aktif dalam insiatif Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk memakmurkan rakyat dan negeri.
“Baru Bian tidak melakukan apa-apa. Kalau janji mesti ditetapti,” katanya.
Baru-baru ini, BN memberi contoh apa yang ia boleh lakukan untuk penduduk Ba’Kelalan: Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi telah membina sebuah menara pemancar telekomunikasi untuk penduduk kawasan itu menikmati akses kepada dunia luar. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan