Empat diculik di Sabah: Malaysia minta bantuan Filipina
PUTRAJAYA, Selasa – Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Hj Aman hari ini telah menghubungi Setiausaha Luar Filipina, Jose Rene Almendras berhubung kejadian penculikan empat warga Malaysia pada 1 April 2016.
Anifah telah memohon bantuan Kerajaan Filipina di dalam usaha untuk membebaskan warga Malaysia tersebut.
Beliau juga telah menegaskan akan kepentingan untuk memastikan keselamatan mereka dan memaklumkan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan pihak Filipina dalam menangani isu ini.
Empat warga Malaysia tersebut adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.
Setiausaha Luar Filipina telah menyakinkan Malaysia bahawa Kerajaan Filipina sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya di dalam usaha mengesan dan menyelamatkan empat warga Malaysia berkenaan.
Beliau juga memaklumkan bahawa pihak Tentera Filipina telah melancarkan operasi sekatan maritim di perairan selatan Filipina bagi mengesan keberadaan kumpulan bersenjata terbabit.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan